KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menghimpunkan penyelidik, ahli akademik dan pengamal bidang psikologi, kaunseling serta kerja sosial dari dalam dan luar negara menerusi Persidangan Antarabangsa Psikologi, Kaunseling dan Kerja Sosial Ke-6 (ICPCSW 2026) bagi mencari penyelesaian terhadap cabaran kesihatan mental dan isu psikososial yang semakin kompleks dalam era digital.
Persidangan anjuran Fakulti Psikologi dan Kerja Sosial (FPKS) UMS itu bertemakan “Psychosocial Innovation in the Digital Era: Advancing Mental Health, Counselling and Social Work Practice”, dengan memberi fokus kepada pembangunan pendekatan dan amalan inovatif dalam bidang psikologi, kaunseling serta kerja sosial yang selari dengan perkembangan teknologi digital.
Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Mansor berkata, revolusi digital telah mengubah cara masyarakat berinteraksi, bekerja, belajar dan mendapatkan sokongan psikososial, namun pada masa sama turut mewujudkan pelbagai cabaran baharu.
Menurut beliau, antara cabaran yang semakin ketara ialah isu kesihatan mental, kesejahteraan psikologi, keselamatan siber, ketagihan digital serta perubahan dalam dinamika sosial yang memerlukan pendekatan lebih inovatif dan berasaskan bukti.
“Dalam konteks ini, peranan ahli psikologi, kaunselor dan pekerja sosial menjadi semakin penting. Kita bukan sahaja perlu memahami perubahan tingkah laku manusia dalam era digital, malah perlu membangunkan pendekatan intervensi yang inovatif, berasaskan bukti dan bersesuaian dengan keperluan masyarakat masa kini,” katanya ketika merasmikan persidangan itu.
Beliau berkata, ICPCSW 2026 bukan sekadar menjadi platform perkongsian hasil penyelidikan, malah mengukuhkan jaringan akademik dan profesional merentas negara melalui perbincangan ilmiah serta pertukaran idea dalam usaha menghasilkan penyelesaian yang lebih berkesan terhadap pelbagai isu psikososial.
Katanya, UMS kekal komited memperkasa penyelidikan, inovasi dan kolaborasi antarabangsa selaras dengan aspirasi universiti untuk menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
“UMS sentiasa menyokong usaha yang dapat meningkatkan kesejahteraan mental, pembangunan modal insan dan keseimbangan sosial. Penyertaan penyelidik dan pengamal dari pelbagai negara dalam persidangan ini turut memperkayakan wacana akademik serta membuka peluang kepada kerjasama penyelidikan yang lebih luas pada masa hadapan,” katanya.
Beliau berharap persidangan itu dapat menghasilkan dapatan penyelidikan, cadangan dan inovasi yang bukan sahaja memberi manfaat kepada komuniti akademik, malah dapat diterjemahkan kepada dasar, amalan profesional serta intervensi yang memberi impak positif kepada masyarakat.
Persidangan ICPCSW 2026 turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik dan institusi kolaboratif dalam usaha memperkukuh pembangunan ilmu serta amalan profesional dalam bidang psikologi, kaunseling dan kerja sosial.






