3 Minggu Diperlukan Bagi Pembinaan Jalan Runtuh Berhampiran Air Terjun Masakob

3 Minggu Diperlukan Bagi Pembinaan Jalan Runtuh Berhampiran Air Terjun Masakob

0
SHARE
Jeffrey (tiga dari kanan) semasa melawat kawasan kejadian...

PENAMPANG, SABAH – Pembinaan jalan alternatif bagi yang terputus akibat tanah runtuh di Kilometer 52.35, berhampiran Air Terjun Masakob, semalam, akan memakan masa sekurang-kurangnya TIGA (3) minggu.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey Kitingan berkata demikian setelah melawat tapak kejadian yang menghubungkan Jalan Penampang- Tambunan petang tadi.

Beliau ditemani oleh Pembantu Menteri Kerja Raya, Datuk Robert Tawik; Pegawai Daerah Tambunan, Jumain Abdul Ghani; Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah (Tambunan), Ir Calvin Justin dan Renjer Hutan Harry Michael.

Ahli Dewan Undang Negeri (ADUN) Tambunan itu diberikan penerangan mengenai sejauh mana kerosakan pada jalan tersebut dan anggaran masa yang diperlukan untuk membaikinya.

“JKR akan memohon kelulusan daripada Jabatan Perhutanan Sabah untuk membenarkan pembukaan jalan alternatif di bawah rizab perhutanan berhampiran lokasi untuk pengguna kenderaan…

“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jabatan dan kakitangan yang bekerja tanpa lelah untuk memperbaiki keadaan ini.

“Pengguna jalanraya diharap bersabar ketika jalan alternatif itu dibuat,” katanya.

Turut hadir dalam lawatan tersebut ialah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat Tambunan Larry Robert, Pegawai Pembangunan Daerah Terrence Yong dan Penolong Pegawai Pembangunan Daerah Vitus Ikon.

Difahamkan laluan yang terjejas itu dikategorikan Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Sabah sebagai merbahaya dan tidak boleh dilalui sebarang jenis kenderaan ekoran insiden 7 malam semalam.

VIDEO laluan jalan Tambunan ke Kota Kinabalu terputus akibat jalan runtuh di Laluan Masakob – Tambunan semalam…

Daerah Tambunan masih boleh diakses melalui jalan Jalan Ranau-Tambunan dan Jalan Kimanis – Keningau.