KOTA KINABALU: Isu buli yang kian membimbangkan menuntut ibu bapa menjadi teladan terbaik kepada anak-anak, kata Ketua Wanita Gagasan Rakyat Likas, Halizah Din.
“Kanak-kanak dan remaja belajar bukan sekadar melalui arahan, tetapi lebih banyak melalui teladan yang ditunjukkan oleh ibu bapa di rumah.
“Jika ibu bapa bersikap hormat, berhemah, dan mengawal emosi, anak-anak akan meniru sikap positif itu,” katanya.
Pakar psikologi kanak-kanak turut menegaskan pendidikan awal di rumah adalah benteng utama.
Apabila ibu bapa bersikap tegas tetapi penuh kasih sayang, anak-anak akan memahami sempadan jelas antara betul dan salah.
Namun, Halizah mengakui cabaran tetap wujud seperti tekanan hidup, kesibukan pekerjaan, serta kurang masa bersama anak.
“Malah ada ibu bapa menganggap buli sekadar sebahagian daripada proses membesar sedangkan ia boleh memberi kesan trauma jangka panjang,” katanya.
Beliau menambah, pengaruh rakan sebaya dan media sosial turut mempengaruhi anak-anak, menjadikan keseimbangan antara ketegasan dan kasih sayang sangat penting agar mereka membesar dengan empati dan disiplin.
“Jika di rumah anak melihat komunikasi penuh marah dan kekerasan, mereka akan membawa bahasa kekerasan itu ke luar.
“Tetapi jika mereka melihat kasih sayang, hormat dan kawalan emosi, budaya itu pula yang akan dibawa ke sekolah dan masyarakat,” jelasnya.
Menurut Halizah, membendung budaya buli bukan tanggungjawab sekolah semata-mata.
“Sikap, teladan, dan didikan ibu bapa menjadi asas pembinaan generasi berakhlak. Oleh itu, keluarga mesti diberi sokongan sewajarnya agar budaya buli dapat dicegah sejak dari rumah,” katanya.






