Labuan: Dewan Perniagaan Labuan (LCC) menolak dakwaan segelintir pihak yang didakwa cuba memperkecilkan sumbangan Tan Sri Anifah Aman sepanjang beliau menerajui Perbadanan Labuan.
Pengerusinya, Ts. Daniel Doughty berkata, rekod Anifah jelas menunjukkan keberanian memperjuangkan isu rakyat, termasuk mendesak kerajaan pusat menyelesaikan krisis air dengan peruntukan RM300 juta, menuntut 30–40 peratus hasil tahunan Labuan dikembalikan ke pulau itu, serta lantang menyuarakan keperluan jambatan Labuan di hadapan Perdana Menteri.
“Beliau juga mempercepatkan projek terbengkalai seperti merobohkan Hotel Labuan, walaupun banyak keputusan kekal dikawal Putrajaya. Untuk menafikan usaha ini sebagai kegagalan adalah tidak adil,” katanya dalam kenyataan.
Menurutnya, apa yang mengecewakan ialah wujud sikap dua darjat apabila Anifah dilabel “orang luar” sedangkan pelantikan tokoh dari Semenanjung kini diterima tanpa bantahan.
“Labuan mesti belajar menghormati keikhlasan, bukan slogan. Tan Sri Anifah berani bersuara ketika lebih mudah untuk berdiam diri.
“Beliau berjuang untuk air, hasil, jambatan dan maruah. Menafikannya adalah pengkhianatan kepada masa depan Labuan,” tegas Daniel.
LCC menegaskan kepimpinan harus diukur melalui sumbangan nyata, bukan retorik politik, dan menyeru semua pihak mengutamakan kepentingan Labuan berbanding perbezaan politik.






