KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, menyokong RUU Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 tetapi menegaskan isu integriti sistem pendaftaran perlu diberi perhatian.
Beliau merujuk laporan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen 2007 yang menunjukkan perbezaan 400,000 penduduk Sabah antara rekod JPN dan Jabatan Perangkaan.
“Persoalan besar, siapakah 400,000 orang ini?” katanya.
Madius turut membangkitkan pertumbuhan luar biasa penduduk Sabah berbanding Sarawak.
Pada 1960, Sarawak lebih ramai 300,000 orang, tetapi pada 2024 Sabah mencatat 3.75 juta berbanding Sarawak 2.5 juta.
“Pertumbuhan mendadak ini bukan semula jadi, tetapi akibat salah guna kuasa,” katanya, merujuk pendedahan RCI mengenai ‘Projek IC’.
Beliau menggesa kerajaan melaksanakan syor RCI PATI serta memastikan pendigitalan pendaftaran negara disertai audit bebas, klausa anti-manipulasi dan pengawasan Parlimen.
“Digitalisasi tanpa integriti hanya akan mempercepatkan salah guna kuasa dalam bentuk lebih canggih,” tegasnya.






