Rumah Mampu Milik Bakal Dibina Untuk 1,853 Keluarga B40 Di Kampung Serusup...

Rumah Mampu Milik Bakal Dibina Untuk 1,853 Keluarga B40 Di Kampung Serusup Tuaran

0
SHARE

TUARAN, SABAH – Satu lagi projek perumahan rakyat akan dibina di Kampung Serusup, 4 kilometer dari pekan ini, di mana kerajaan negeri menyediakan 1,853 unit rumah mampu milik untuk golongan B40.

Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) dijangka melaksanakan projek tersebut dalam tempoh terdekat sebaik sahaja perjanjian tambahan usahasama (kali kedua) dengan pemaju ditandatangani selepas bulan Ramadan ini, kata pengerusinya, Datuk Masiung Banah.

“Seluas 15.61 ekar di dua lokasi berdekatan telah diwartakan untuk mendirikan perumahan tersebut mengandungi lima blok apartmen yang menelan belanja RM406 juta,” katanya semasa melawat tapak cadangan projek itu semalam.

Masiung berkata, daripada bilangan itu, tiga blok apartment mengandungi 1,062 unit dibina di tapak seluas 8.92 ekar.

Selebihnya, dua blok lagi mengandungi 792 unit dibina bersebelahan di atas tanah seluas 6.69 ekar dengan jarak lokasi 500 meter.

Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuamut itu berkata projek perumahan mampu milik berkenaan merupakan inisiatif kerajaan negeri memenuhi keperluan tempat kediaman rakyat terutama golongan B40.

Masiung berkata, projek perumahan itu dijangka siap pada 2025. Setiap unit rumah apartmen mengendungi dua bilik akan dijual pada kadar RM250,000 ke atas.

Katanya, perumahan mampu milik itu dilaksanakan secara usahasama dengan pemaju tempatan.

Semasa sesi lawatan tapak itu, Masiung turut diiringi timbalannya, Datuk Jamilah Antalip.