Seramai 50 Remaja Kota Belud Menjadi Penerima Pertama Kit SERI

Seramai 50 Remaja Kota Belud Menjadi Penerima Pertama Kit SERI

0
SHARE
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Hajah Siti Zailah Binti Mohd Yusoff berucap pada majlis tersebut...

KOTA BELUD, SABAH – Seramai 50 remaja perempuan Pondok Fi Dzilalil Quran, di sini, menjadi kumpulan pertama Negeri Sabah menerima manfaat Kit SERI (Social Empowerment Of Reproductive Health Initiatives).

Inisiatif itu diperkenalkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Kit SERI merupakan kesinambungan kepada pembentangan Bajet 2022 bagi mengatasi kemiskinan haid kalangan wanita di negara ini.

Penyerahan Kit SERI telah disempurnakan oleh Dato’ Hajah Siti Zailah Binti Mohd Yusoff, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat semalam.

Penerima merupakan kumpulan layak kalangan keluarga berpendapatan isi rumah rendah atau kumpulan B40.

“Seramai 130,000 remaja perempuan yang layak bakal menerima bekalan Kit SERI yang akan diedarkan melalui 1,124 buah sekolah yang dikenalpasti di seluruh Malaysia…

“Manakala di negeri Sabah seramai 14,970 orang remaja perempuan bakal menerima manfaat ini,” kata Zailah.

Sebelum penyampaian Kit SERI, peserta didedahkan dengan taklimat penjagaan kebersihan diri bertajuk “Kekal Positif Dengan Pengurusan Haid Berkesan” yang disampaikan oleh Dr. Wan Hilya Munira binti Mustapha, Pegawai Perubatan Bahagian Reproduktif Manusia LPPKN.

Turut hadir pada majlis penyerahan adalah Timbalan Ketua Setiausaha KPWKM, Mohd Yusri Mohd Yusof; Ketua Pengarah LPPKN, Abdul Shukur Abdullah dan Pengarah LPPKN Negeri Sabah, Dennis Chai Cheng Ho.