KUALA LUMPUR: Fenomena hiburan Pantai Timur bakal menggegarkan ibu negara menerusi penganjuran konsert mega Kelate Ke KL 2026 yang dijadual berlangsung pada 29 Ogos 2026 di Zepp Kuala Lumpur.
Mengangkat tema “Suaro Kito, Jiwo Kito – 100% Ori Kelate”, konsert berkenaan bakal menghimpunkan barisan artis popular kelahiran Kelantan dalam satu malam yang meraikan seni, budaya dan identiti negeri tersebut.
Antara artis yang dijadual membuat persembahan ialah Eda Ezrin, Rosalinda, Adik Waniey, Man Khan, Den Manjo, Fendi Kenali dan Aris Capella, yang dijangka membawa pelbagai genre muzik serta hiburan yang dekat dengan masyarakat Pantai Timur.
Pengarah Projek Kelate Ke KL 2026, Mas Ayie Mas Omar berkata, penganjuran konsert itu bukan sekadar platform hiburan, malah menjadi medium untuk mengangkat seni dan budaya Kelantan ke pentas yang lebih luas.
Menurutnya, acara tersebut turut bertujuan menghimpunkan anak-anak Kelantan yang berada di seluruh negara serta peminat muzik Pantai Timur dalam satu acara berprestij yang sarat dengan semangat kenegerian.
“Kelate Ke KL 2026 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi satu platform untuk meraikan identiti, seni dan budaya Kelantan serta menghimpunkan anak-anak Kelantan dan peminat muzik Pantai Timur dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut memaklumkan bahawa pelbagai pengisian menarik termasuk penampilan khas artis jemputan, persembahan kebudayaan dan beberapa kejutan eksklusif akan diumumkan dalam fasa seterusnya menjelang penganjuran acara itu.
Maklumat mengenai penjualan tiket akan diumumkan dalam masa terdekat. Tiket rasmi konsert akan dijual secara eksklusif menerusi platform Illaso.com.my.
Konsert Kelate Ke KL 2026 dianjurkan oleh Natriya Enterprise, Irama Entertainment dan Ikarl Project.






