KLFW 2026 Jadi Pentas Perkasa Produk Tempatan, Batik Malaysia Tembusi Pasaran Global

KLFW 2026 Jadi Pentas Perkasa Produk Tempatan, Batik Malaysia Tembusi Pasaran Global

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) 2026 menjadi platform strategik memperkukuh penjenamaan serta daya saing produk tempatan menerusi pelaksanaan gerakan Jom Malaysia, inisiatif baharu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi menggalakkan rakyat mengutamakan pembelian produk Malaysia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kerjasama strategik antara KPDN dan KLFW 2026 merupakan sebahagian daripada transformasi Kempen Beli Barangan Malaysia (KBBM) yang bertujuan mengurangkan kebergantungan kepada import, di samping memperkukuh daya saing industri serta usahawan tempatan di pasaran domestik dan antarabangsa.

Beliau berkata, KLFW 2026 yang berlangsung di Esplanade KLCC dari 3 hingga 9 Ogos menghimpunkan lebih 50 pereka fesyen dan jenama tempatan dengan 800 rekaan kreatif menerusi 28 segmen, termasuk segmen sulung Fashion Forward Batik Malaysia yang menampilkan 30 rekaan batik kontemporari daripada 10 pereka menggunakan tekstil batik asli dari Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia.

Melalui Jom Malaysia, KPDN akan terus memperkukuh kerjasama bersama pemain industri, sektor swasta dan rakan strategik bagi membina ekosistem yang memastikan produk Malaysia lebih mampan serta berdaya saing di peringkat domestik dan antarabangsa,” katanya di sini, semalam.

Armizan berkata, potensi industri budaya dan kreatif negara semakin menyerlah apabila sektor itu menyumbang RM130.7 bilion atau 6.8 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) berdasarkan Laporan Akaun Satelit Budaya dan Kreatif 2024 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Beliau berkata, pencapaian KLFW 2025 yang merekodkan nilai publisiti mencecah USD32 juta turut membuktikan platform itu mampu memperluaskan capaian pasaran produk tempatan, khususnya batik Malaysia ke peringkat global.

Menurutnya, inisiatif berkenaan selaras dengan penubuhan Jawatankuasa Kabinet Bagi Memperkasa Penggunaan dan Pembelian Produk Tempatan yang diputuskan Jemaah Menteri pada 15 Julai lalu bagi menyelaras usaha kerajaan meningkatkan penggunaan, jualan domestik dan eksport produk tempatan.

Armizan turut menggesa semua pemegang taruh daripada pelbagai sektor mengemukakan syor dan pandangan kepada kementerian serta agensi berkaitan bagi memastikan agenda memperkasa penggunaan dan pembelian produk tempatan dapat dilaksanakan secara lebih berkesan melalui pendekatan kolaboratif.