KUALA LUMPUR – Penyair dan pelakon, Pyanhabib atau nama sebenarnya Mohd Supyan Abdul Rahman, 66, meninggal dunia di kediamannya di Hulu Kelang, semalam kira-kira seminggu selepas menyambut hari lahir ke-66.
Memetik sumber Berita Harian, Pyanhabib menulis di Facebook Isnin lalu ketika menyambut hari lahir ke-66 tahun.
“Cucu minta potong kek, saya pun potong kek.
“Nabi muhammad SAW wafat pada usia 63 tahun dan saya hidup pada usia subsidi diberi Allah,” katanya.
Pyanhabib lahir pada 27 Mei 1958 dan berasal dari Taiping, Perak.
Allahyarham aktif menulis dan membaca puisi sejak 1976 bersama Anak Alam dan mencetuskan fenomena baca puisi di bawah tiang lampu 10 tahun kemudian.
Beliau juga terbabit dalam teater dan lakonan filem, serta menulis beberapa buku.
Anak Alam ialah kumpulan seni yang diasaskan pada dekad 1970-an oleh sekumpulan seniman tanah air yang disertai penyair, pemain teater, penulis dan pelukis.
Tidak hanya berkarya menerusi ekspresi seni, kumpulan itu juga mengulas isu masyarakat seperti kemiskinan menerusi karya mereka.
Pada tahun 2023, Allahyarham dianugerahkan Tokoh Penyair Kuala Lumpur 2023 oleh Persatuan Penulis Nasional Malaysia (PENA).
Di pentas lakonan, Pyanhabib berjaya membawa watak Osman Tikus dalam filem Kembara Seniman Jalanan pada 1986.
Antara filem lain yang pernah dilakonkan oleh Allahyarham adalah Tsu Feh Sofiah (1986), Rozana Cinta 87 (1987), Tak Kisahlah Beb (1989), Mat Som (1990), Rock Oo! (2013), Apokalips X (2014) dan Usop Wilcha Menghonjang Makhluk Muzium (2015).
Pyanhabib pernah dicalonkan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik menerusi filem arahan Rahim Razali yang berjudul Tsu Feh Sofiah, namun beliau menolak penganugerahan berkenaan di Festival Filem Malaysia ke-7.






