KUCHING: Festival Rock-In-The-City (RiTC) 2026 kembali dengan konsep baharu dan bakal menggegarkan Kuching menerusi dua malam persembahan rock yang menghimpunkan artis dari Sarawak, Malaysia, Brunei dan Indonesia pada 29 dan 30 Ogos ini.
Buat julung kalinya, festival yang sebelum ini dikenali menerusi konsep Rock-In-The-Jungle di Sarawak Cultural Village dipindahkan ke Wisma Melayu, Jalan Diplomatik, bagi membawa pengalaman muzik rock lebih dekat kepada komuniti bandar.
Tarikan utama festival ialah kemunculan kumpulan rock popular Indonesia, Peter Pan, yang bakal mengadakan persembahan sulung mereka di Kuching pada 29 Ogos. Kumpulan itu dijangka menghiburkan peminat menerusi lagu-lagu malar segar seperti Mungkin Nanti, Semua Tentang Kita, Bintang di Syurga, Menghapus Jejakmu dan Ada Apa Denganmu.
Malam pembukaan turut menampilkan kumpulan Post Mortem Education dari Sarawak dan Secret Signal dari Brunei, manakala malam kedua diteruskan dengan persembahan Senseless, Fearless dan Barbaric.
Festival anjuran Aiee Event Management dengan sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak (MTCP Sarawak) serta Tourism Malaysia itu bukan sekadar konsert, malah bertujuan memperkukuhkan kedudukan Sarawak sebagai destinasi pelancongan muzik dan industri kreatif.
Penganjur menjangkakan RiTC 2026 akan menarik kehadiran peminat rock dari seluruh negara dan rantau ini, sekali gus memberi impak positif kepada sektor pelancongan serta ekonomi kreatif Sarawak.
RiTC 2026 akan berlangsung pada 29 dan 30 Ogos, bermula jam 7.15 malam hingga 12 tengah malam di Wisma Melayu, Jalan Diplomatik, Kuching.
Tiket boleh diperoleh menerusi platform Saratic, manakala maklumat lanjut boleh diikuti melalui akaun rasmi Facebook, Instagram dan TikTok Rock-In-The-City 2026.






