Tenom Jadi Hab Acara Sukan dan Pertanian, Dijangka Tarik Ribuan Pengunjung

Tenom Jadi Hab Acara Sukan dan Pertanian, Dijangka Tarik Ribuan Pengunjung

0
SHARE

TENOM: Daerah Tenom bakal muncul sebagai hab penganjuran acara sukan, pertanian, perikanan dan pelancongan di pedalaman Sabah apabila menjadi tuan rumah pelbagai program berskala negeri dan kebangsaan sepanjang Ogos hingga November tahun ini yang dijangka menarik ribuan pengunjung serta merancakkan ekonomi tempatan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, kejayaan menganjurkan Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala MABA–MATRIX Kali Ke-30 Tahun 2026 membuktikan Tenom memiliki kemampuan serta potensi untuk menjadi lokasi pilihan bagi penganjuran acara berprestij pada masa hadapan.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap berkata, kejohanan kebangsaan itu yang julung kali diadakan di Tenom menerima sambutan amat menggalakkan daripada peminat sukan bola keranjang.

“Bagi pihak warga Tenom, kita mengucapkan terima kasih kepada MABA dan SABA kerana memilih Tenom sebagai tuan rumah kejohanan kebangsaan ini.

Ini merupakan kali pertama kejohanan bola keranjang kebangsaan diadakan di Tenom dan sambutannya cukup hebat. Kita berharap akan ada lagi penganjuran pada masa akan datang supaya lebih banyak aktiviti dapat diadakan di Tenom,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Keranjang Kebangsaan Piala MABA–MATRIX Kali Ke-30 Tahun 2026 di sini, baru-baru ini.

Jamawi berkata, kalender acara yang disusun sepanjang empat bulan akan datang merangkumi pelbagai program dalam sektor sukan, pertanian, perikanan dan pelancongan bagi menghidupkan lagi aktiviti ekonomi di daerah itu.

Menurutnya, Tenom akan menjadi tuan rumah Kejohanan Bola Sepak Bawah 16 Tahun Peringkat Negeri Sabah pada 3 hingga 7 Ogos, diikuti Pesta Bunga di Taman Pertanian Sabah dari 12 hingga 20 September serta Program Cintai Sungai Peringkat Negeri pada 26 September.

Katanya, pada Oktober pula, daerah itu akan menganjurkan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan serta Program Perkhemahan Peringkat Negeri Sabah, sebelum Pesta Makanan diadakan pada November sebagai penutup siri program berkenaan.

“Kita berharap semua program ini bukan sahaja memeriahkan daerah Tenom, malah mampu merancakkan ekonomi tempatan melalui peningkatan kehadiran pengunjung serta aktiviti perniagaan,” katanya.

Turut hadir Ahli Parlimen Tenom, Riduan Rubin; Presiden Persatuan Bola Keranjang Sabah, Phan Chee Yong; dan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Chu Cheong Sin.