Polis Mohon Bantuan Kesan Gwynne Hilang Selepas Dihantar ke Sekolah

Polis Mohon Bantuan Kesan Gwynne Hilang Selepas Dihantar ke Sekolah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu memohon bantuan orang ramai untuk mengesan seorang remaja perempuan Gwynne Mia Erbin berusia 12 tahun yang dilaporkan hilang selepas dihantar ke sekolah di Likas, Isnin lalu.

Dalam kenyataan hari ini, IPD Kota Kinabalu memaklumkan, Gwynne berbangsa Lundayeh dan beralamat di No. 55, Lorong Raja Udang 2, Taman Kingfisher, di sini.

Menurut kenyataan itu, Gwynne mempunyai ciri-ciri fizikal berbadan sederhana, berkulit cerah, berketinggian kira-kira 155 sentimeter, bermata coklat, berbulu kening tebal, berambut hitam pendek serta berbibir tebal. Mangsa juga bertutur dalam Bahasa Melayu dan tidak mempunyai sebarang kecacatan fizikal atau mental.

Penama dilaporkan hilang pada 27 Julai 2026 selepas dihantar ke hadapan SMK Lok Yuk, Likas sekitar jam 5.55 pagi untuk ke sekolah. Bagaimanapun, penama didapati tidak hadir ke sekolah dan sehingga kini masih belum dapat dikesan,” menurut kenyataan itu.

Ketika kali terakhir dilihat, Gwynne memakai pakaian seragam sekolah jenis pinafore berwarna biru, kasut putih serta membawa beg berwarna putih bercorak bunga.

Menurut IPD Kota Kinabalu, ahli keluarga telah menjalankan pelbagai usaha pencarian termasuk membuat hebahan menerusi kumpulan WhatsApp keluarga dan komuniti, namun sehingga kini mangsa masih belum ditemui.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai keberadaan penama diminta menghubungi IPD Kota Kinabalu di talian 088-529222 atau Pegawai Penyiasat, Insp. Kamarul Rashdan bin Suffian Long di talian 014-8458490 bagi membantu siasatan.

“Kerjasama orang ramai dalam membantu mengesan penama amatlah dihargai,” menurut kenyataan itu.