
SANDAKAN, SABAH – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Negeri Sabah merentasi samudera dalam membawa mesej kerajaan.
Pengarah Penerangan Sabah Jainisah Mohd Noor berkata KMJG yang bermula sejak tahun 2002 di Sabah buat pertama kalinya menjadikan perairan sebahagian dari laluan konvoi dalam usaha membawa mesej kemerdekaan dan kenegaraan ke seluruh pelosok negeri.
“Sebenarnya kita cuba untuk setiap tahun apabila kita melaksanakan konvoi KMJG ini untuk menampilkan kelainan di setiap kembara kita.
“Kembara tahun lepas juga ada beberapa kelainan yang kita buat dan tahun ini kita membawa kelainan lagi salah satu daripada perkara baru yang kita teroka adalah melaksanakan konvoi menggunakan pengangkutan air.
“Dengan itu, kita bekerjasama dengan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) yang mana sebelum ini kita pernah berkolaborasi di bawah inisiatif sebagai Sahabat Maritim pada awal Oktober tahun 2023.
“Di sana, kita telah memulakan Info On Wheel X Info On Boat, satu kaedah penyampaian maklumat di kawasan perairan dan inisiatif itu kita kembangkan dan perluaskan lagi dengan membawa APMM bersama dalam konvoi KMJG pada tahun ini.
“Tahun ini, kita cuba membawa seramai mungkin anggota keselamatan kita menyertai konvoi KMJG turun padang, mengajak seluruh masyarakat negeri Sabah untuk sama-sama memeriahkan dan menggelorakan lagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Sabah yang disambut serentak tahun ini,” jelasnya.
Menurut Jainisah, pihaknya dengan bantuan pasukan keselamatan mengambil peluang untuk mengajak seluruh rakyat Sabah mengibarkan Jalur Gemilang dan Bendera Sabah di samping menyantuni masyarakat di luar bandar, perkampungan, pedalaman dan pulau.
“Daripada apa yang kita nampak, semua bot ada kibaran Jalur Gemilang dan Bendera Sabah.
“Walaupun pulau yang kita pergi itu agak jauh dari tanah besar namun masih penuh dengan kibaran bendera kebanggaan kita.
“Ini menunjukkan sambutan untuk kempen kibar Jalur Gemilang memang sangat memberangsangkan bukan sahaja di tanah besar tetapi juga di pulau dan pedalaman.
“Saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam program kita hari ini khususnya Agensi Penguatkuasaan Maritim (APMM) atas komitmen dan sokongan yang cukup padu sehingga program kita pada hari ini berjaya disempurnakan dengan penuh gemilang,” katanya semasa ditemui media selepas mengetuai konvoi KMJG merentasi samudera untuk sampai ke Pulau Tanjung Aru dan Pulau Berhala yang terletak di perairan Sandakan.
Program yang menyaksikan penyertaan 18 buah bot dari lapan agensi termasuk APMM, Angkatan tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perhutanan Negeri Sabah, Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah, Sabah Park, Jabatan Perikanan Sabah dan Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah serta 20 buah bot nelayan dari komuniti nelayan Kampung Tanjung Aru dan Kampung Berhala. — JABATAN PENERANGAN SABAH





