SANDAKAN, SABAH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) komited sebar maklumat kerajaan dengan Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah.
Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Laksamana Pertama Maritim Datuk Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata kerjasama dengan Jabatan Penerangan (JaPen) Negeri Sabah dalam memastikan sebarang maklumat dapat disampaikan bukan sahaja di kawasan darat tapi juga kawasan perairan negara akan diteruskan.
“Dalam kerjasama dengan JaPen yang kita mulakan pada tahun lepas, banyak maklumat yang kita sampaikan yang mana selama ini kita berhadapan sendiri dengan masyarakat dan tidak diwar-warkan kepada masyarakat umum.
“Info On Boat tercetus apabila saya dan Pengarah JaPen Sabah bersetuju untuk meluaskan lagi penerangan kepada masyarakat dan memasukkan Maritim dalam program yang berkaitan dengan komuniti.
“Jadi dengan kerjasama ini, maklumat berkaitan dengan Maritim dan juga apa sahaja gerak kerja yang kita laksanakan di laut lebih meluas dan ini adalah satu batu loncatan kepada agensi kami untuk menaikkan imej Maritim dan juga dikenali di seluruh pelosok negara,” katanya semasa ditemui media dalam program Majlis Perasmian Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) Peringkat Daerah Sandakan 2024 di Kompleks APMM Zon Sandakan.
Ditanya berkenaan kerjasama dalam KMJG, Suhaimi berkata pihaknya berbesar hati dan teruja dapat bekerjasama dalam program tersebut.
“Kalau ikut pada kerjasama yang dilaksana kami amat teruja kerana ini adalah julung kali kita laksanakan dan apabila ditawarkan untuk bekerjasama kami semua amat bersemangat.
“Kita lihat tadi pertama kalinya kita turun laut bersama masyarakat dengan pemimpin dan agensi lain.
“Kita nampak semarak merdeka lebih meriah dan jika program sebegini diteruskan, ia dapat melengkapkan sambutan yang selama ini kalau kita adakan di darat tetapi sekarang ini kita adakan di kawasan laut, jadi kami amat teruja kerana kami terlibat dalam keberadaan dalam sambutan merdeka kali ini,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan kesediaan pihak APMM untuk meneruskan kerjasama erat dengan agensi kerajaan yang lain khususnya JaPen dalam program bersama masyarakat di Sabah. — JABATAN PENERANGAN SABAH