Penduduk Pulau Tg Aru, Pulau Berhala Terima Kit Merdeka

Penduduk Pulau Tg Aru, Pulau Berhala Terima Kit Merdeka

0
SHARE
Kmjg
Rugayah (tiga dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada wakil penduduk disaksikan oleh Anna Bell (tiga dari kiri) - ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SANDAKAN, SABAH – Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 mengedarkan Kit Merdeka di perairan Sandakan melibatkan Pulau Tanjung Aru dan Pulau Berhala.

Selain 20 nelayan tempatan, agihan di kawasan kepulauan tersebut turut dilaksanakan konvoi KMJG bersama lapan agensi antaranya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Tentera Laut Malaysia, Jabatan Pelabuhan dan Dermaga serta Jabatan Perkhidmatan Kebajikan Am Sabah.

Ketua Konvoi KMJG, Jainisah Mohd Noor menyampaikan Kit Merdeka kepada Ketua Kampung Tanjung Aru sumbangan Padiberas Nasional Berhad (Bernas).

Ketua Kampung Tanjung Aru, Madaud Mangson berkata sumbangan tersebut akan digunakan bagi pelaksanaan program melibatkan komuniti kampung seperti yang sudah dirancang pada 31 Ogos depan.

“Bagi memeriahkan lagi sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, acara sukan rakyat dan sukaneka akan dianjurkan melibatkan semua masyarakat kampung dari pelbagai peringkat umur.

“Acara sukan rakyat yang akan dipertandingkan antaranya adalah lari dalam guni dan pertandingan gasing serta beberapa acara sukaneka bagi menggalakkan penglibatan kanak-kanak,” katanya ketika ditemui media, pada Selasa.

Beliau turut memaklumkan semua acara akan diadakan di padang Sekolah Kebangsaan Tg Aru memandangkan lokasi tersebut paling sesuai untuk penganjuran aktiviti sedemikian.

Selain itu, Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) turut menyampaikan sumbangan 50 helai jaket keselamatan kepada penduduk kampung yang disempurnakan oleh Pengerusinya, Rugayah Awang Besar.

Madaud menzahirkan terima kasih kepada konvoi KMJG yang sudi singgah ke Pulau Tg Aru dan berharap semoga kampungnya akan dilibatkan lagi dalam aktiviti-aktiviti bersama komuniti. — JABATAN PENERANGAN SABAH