Program Bulan Kebangsaan Perlu Turut Diadakan Di Kawasan Kepulauan : Senator Anna

Program Bulan Kebangsaan Perlu Turut Diadakan Di Kawasan Kepulauan : Senator Anna

0
SHARE
Kmjg
Anna Bell bergambar bersama-sama penduduk Kampung Tg Aru ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

SANDAKAN, SABAH – Bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat, program-program kenegaraan perlu diperluaskan ke kawasan pulau di Sabah.

Senator Anna Bell @ Suzieana Perian berkata, sambutan luar biasa penduduk Pulau Tg Aru dan Pulau Berhala terhadap Konvoi Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 menunjukkan keterujaan mereka untuk sama-sama menyemarakkan lagi Bulan Kebangsaan.

“Pelaksanaan KMJG 2024 anjuran Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) Sabah di kawasan perairan Sandakan dengan menaiki bot merupakan yang julung kali diadakan.

“Penglibatan masyarakat yang berada di pulau memberi ruang kepada mereka menzahirkan semangat patriotisme yang boleh menjadi titik penyatuan sebagai rakyat Malaysia,” katanya selepas bersama-sama konvoi KMJG menyelusuri perairan Sandakan menuju ke Pulau Tg Aru dan Pulau Berhala.

Anna Bell turut berkata, pewartaan Hari Sabah yang diumumkan pada Jun lepas menjadi detik sejarah kerana pada tahun ini merupakan kali pertama disambut oleh masyarakat negeri ini.

“Dengan sambutan serentak pada tahun ini diharapkan menjadi titik penyatuan masyarakat berbilang bangsa, agama dan kaum yang terdapat di negara khususnya di negeri ini,” tambahnya.

Beliau turut berharap agar agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri meneruskan program menyantuni masyarakat di pulau-pulau seperti program tersebut dan perlu diteruskan di kawasan-kawasan lain.

Ketika menyantuni masyarakat di dua pulau tersebut, Anna Bell menyaksikan penyampaian Kit Merdeka berupa beras kampit sumbangan Padiberas Nasional Berhad (Bernas) dan 50 jaket keselamatan masing-masing disampaikan oleh Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor dan Pengerusi Yayasan Kebajikan Sabah, Rugayah Awang Besar. — JABATAN PENERANGAN SABAH