Operasi Todak: 10 PATI Ditahan, Penjaja Tanpa Lesen Dikompaun

Operasi Todak: 10 PATI Ditahan, Penjaja Tanpa Lesen Dikompaun

0
SHARE

KOTA KINABALU: Seramai 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Filipina ditahan dalam Operasi Todak bersepadu yang dilaksanakan di kawasan SAFMA, Pasar Besar Kota Kinabalu serta perairan sekitarnya pada Selasa (4 Ogos).

Operasi bermula jam 11 malam itu melibatkan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sabah dan SAFMA.

Menurut kenyataan DBKK, JIM memeriksa 521 individu sebelum menahan kesemua PATI terbabit yang kemudiannya dihantar ke Depot Imigresen Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

Di perairan, empat bot diperiksa dengan lesen sebuah bot ditahan atas kesalahan dokumen pelaut warga asing yang tamat tempoh. APMM turut menggerakkan dua aset maritim untuk memeriksa sebuah vesel nelayan tempatan sebelum tujuh kru diserahkan kepada JIM.

Sementara itu, DBKK mengkompaun dua penjaja tanpa lesen serta menyita sebuah motosikal dan peralatan perniagaan.

PDRM pula mengerahkan 21 anggota bagi memastikan operasi berjalan lancar.