James Ligunjang Ketuai Kemasukan Sembilan Pemimpin ke PGRS di Penampang

James Ligunjang Ketuai Kemasukan Sembilan Pemimpin ke PGRS di Penampang

0
SHARE

PENAMPANG: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Datuk James Ligunjang JP, mengetuai kemasukan sembilan pemimpin berpengalaman dari kawasan Parlimen Penampang ke dalam Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS), sekali gus memperkukuhkan kekuatan parti itu di peringkat akar umbi serta mengukuhkan lagi Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Selain James, turut menyertai PGRS ialah Datuk Edmund Doudilim, peguam dan bekas Timbalan Pengerusi USNO; Dr Tan Jun Kwang, arkitek dan pemegang Ijazah Doktor Falsafah (PhD); Wilson Chang, peguam; Datuk Aloysius Mobijin, bekas Timbalan Ketua Polis Daerah (OCPD) Tawau dan Pengerusi Persatuan Veteran Polis Sabah; Frederick Francis Fung, pesara pegawai kanan kerajaan; Anwar Syed Shariff Abdullah, peguam; TS Gary Chang, jurutera; serta Albert Doudilim, bekas Ketua Cabang PKR.

Kesemua mereka menyerahkan borang permohonan keahlian kepada Ketua Bahagian PGRS Moyog, Datuk Mandela Malakun, dalam satu majlis ringkas di ITCC Penampang hari ini yang turut disaksikan Ketua Bahagian PGRS Kepayan, Datuk Steven Jimbangan.

James berkata, keputusan menyertai PGRS bukanlah sesuatu yang baharu memandangkan beliau telah lama menyokong Gabungan Rakyat Sabah (GRS), namun sebelum ini tidak menganggotai mana-mana parti komponen gabungan tersebut.

Kami menyertai PGRS bagi membantu memperkukuh kekuatan parti di peringkat akar umbi dan seterusnya mengukuhkan GRS secara keseluruhannya. Matlamat kami adalah memastikan wujudnya satu barisan yang bersatu dan mampu memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah dengan lebih berkesan,” katanya.

Beliau berkata, penyertaan itu turut didorong keyakinan terhadap kepimpinan Ketua Menteri merangkap Pengerusi GRS, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor, yang menurutnya telah membuktikan komitmen dalam memacu pembangunan negeri menerusi pelaksanaan pelbagai projek yang memberi manfaat kepada rakyat di kawasan bandar dan luar bandar.

“Kepimpinan kerajaan hari ini telah berkhidmat dengan baik kepada rakyat. Kemajuan yang dapat kita lihat ketika ini merupakan bukti nyata mengapa pentadbiran ini wajar mendapat sokongan penuh dan itulah sebabnya kami memilih PGRS sebagai wadah perjuangan politik kami,” katanya.

Kemasukan James bersama lapan lagi tokoh berpengalaman itu dijangka memperkukuhkan pengaruh PGRS di Parlimen Penampang, di samping memperkasakan jentera parti dalam memperluaskan sokongan terhadap GRS di kawasan berkenaan.