BPR Fasa 3 Akan Mula Diberi Kepada Penerima Mulai 28 Sept Ini

BPR Fasa 3 Akan Mula Diberi Kepada Penerima Mulai 28 Sept Ini

0
SHARE

PUTRAJAYA – Seramai 3.6 juta penerima Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) Fasa 3 termasuklah mereka yang diluluskan permohonan rayuan sebelum ini bakal menerima bantuan tersebut mulai Selasa (28 Sept) ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bantuan yang melibatkan nilai RM2.82 bilion itu dijangka selesai dikreditkan ke dalam akaun penerima isi rumah dalam tempoh tiga hari sehingga 30 September ini.

Bagi pemberian BPR Fasa 3 ini, beliau memaklumkan setiap penerima bakal memperoleh sehingga RM1,400, manakala penerima bayaran rayuan BPR akan menerima sehingga RM2,300.

“Ini termasuk bayaran BPR tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi Tambahan (PEMERKASA+) bernilai sehingga RM500 bagi setiap penerima mengikut kategori kelayakan masing-masing iaitu berdasarkan status perkahwinan, jumlah pendapatan isi rumah dan bilangan anak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ismail Sabri berkata, pembayaran Fasa 3 itu adalah penyaluran penuh baki nilai yang sepatutnya diterima penerima BPR dan rayuan bagi meringankan beban mereka.

Beliau berkata, kerajaan terus komited dalam memastikan kesejahteraan ‘Keluarga Malaysia’, terutamanya kumpulan sasar yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Dato’ Seri Ismail Sabri Yaakob…

Jelas beliau, antara lain, beberapa bantuan tunai seperti Bantuan Khas COVID-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP) diberikan kepada penerima yang layak dengan pembayaran bantuan itu dijadual disalurkan pada bulan depan hingga Disember tahun ini.

“Penerangan lanjut berhubung pembayaran BPR Fasa 3 ini akan diperincikan Kementerian Kewangan…

“Keluarga Malaysia boleh merujuk kepada soalan lazim (FAQ) di portal rasmi BPR  iaitu https://bpr.hasil.gov.my untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.