KOTA KINABALU: Seorang wanita warga tempatan berusia lingkungan 60-an cedera ringan selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 yang dipandunya tiba-tiba terbabas dari jalan utama sebelum merempuh pintu kaca dan memasuki ruang terbuka di balai berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), petang Jumaat.
Kejadian kira-kira jam 4.20 petang itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan kenderaan berkenaan secara tiba-tiba melencong dari laluan sebelum melanggar pintu kaca di aras tiga.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Polis Shahrudin Mat Husain, mengesahkan kejadian tersebut melibatkan seorang wanita tempatan.
Siasatan awal mendapati pemandu dipercayai tersalah menekan pedal minyak menyebabkan kenderaan bergerak ke hadapan dan memasuki kawasan berlepas.
“Pemandu hanya mengalami kecederaan ringan dan tiada orang awam terlibat dalam insiden ini,” katanya dihubungi media.
Tiada kecederaan lain dilaporkan.
Polis menasihatkan orang ramai agar lebih berhati-hati ketika memandu bagi mengelakkan kejadian seumpama itu, sambil memaklumkan siasatan lanjut masih dijalankan.






