Kerajaan Benarkan Taman Rekreasi Awam Beroperasi Di Negeri Fasa 1 PPN Mulai...

Kerajaan Benarkan Taman Rekreasi Awam Beroperasi Di Negeri Fasa 1 PPN Mulai Isnin Ini

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kerajaan bersetuju untuk membenarkan taman-taman rekreasi awam bagi negeri-negeri di dalam Fasa 1 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuka bagi tujuan aktiviti riadah berkuatkuasa Isnin (16 Ogos) ini.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kelonggaran itu diberikan bagi memastikan kesejahteraan rakyat dipelihara terutamanya dalam usaha mengurangkan tekanan terhadap kesihatan mental.

“Tetapi ingat, hanya aktiviti yang boleh dilakukan secara individu seperti joging, berbasikal dan bersenam dibenarkan, selari dengan prosedur operasi standard (SOP) sukan dan riadah dalam Fasa 1 PPN…

“Orang ramai juga hanya dibolehkan mengunjungi taman-taman rekreasi awam di kawasan kejiranan sahaja. Janganlah rentas negeri atau daerah untuk pergi ke taman rekreasi lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, kebenaran tersebut amat penting untuk rakyat mendapat lebih masa berada di kawasan yang terbuka dan mempunyai sistem pengudaraan yang lebih baik berbanding hanya terkurung di rumah.

“Jadi, saya amat berharap agar kemudahan ini tidak disalah guna,” jelas beliau.

Tambah beliau, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan agensi berkaitan yang bertanggungjawab memantau pematuhan SOP di taman-taman rekreasi awam, perlu bertanggungjawab sepenuhnya ke atas pelaksanaan kemudahan yang diberikan.

Katanya lagi, ia bagi memastikan kebenaran itu dilaksanakan mengikut peraturan serta garis panduan yang telah ditetapkan, dan mengelakkan mudarat.