Pertukaran Pemimpin Tidak Akan Membawa Kepada Kesejahteraan Negara, Fokus Perangi Pandemik –...

Pertukaran Pemimpin Tidak Akan Membawa Kepada Kesejahteraan Negara, Fokus Perangi Pandemik – IKHWAN

0
SHARE
Mohd Hamdan Haris - Ketua Penerangan, Pertubuhan IKHWAN Sabah...

KOTA KINABALU, SABAH – Pertubuhan IKHWAN Sabah bersatu hati menyokong Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mengemudi tampuk kepimpinan negara dalam memerangi pandemik yang dihadapi oleh seluruh negara.

Dalam satu kenyataan hari ini Ketua Penerangan pertubuhan tersebut, Mohd Hamdan Haris menyatakan keyakinan dan kepercayaan bahawa langkah dan tindakan Perdana Menteri akan membawa kebaikan kepada negara.

“Pertukaran pemimpin tidak akan membawa kepada kesejahteraan negara dalam keadaan Negara yang sedang berperang dengan pandemik COVID-19 melainkan para pemimpin perlu berkerjasama untuk memastikan wabak ini dapat ditangani…

“Tan Sri Muhyiddin Yassin melalui kerjasama berpartisan yang dicadangkan olehnya sudah jelas membuktikan bahawasanya beliau sangat mementingkan kesihatan rakyat dan keselamatan Negara berbanding kepentingan dan kepuasan pribadi.

“Sekiranya cadangan ini diterima dengan hati yang terbuka oleh parti yang lain, maka agenda memulihkan Negara akan mampu mencapai titik persefahaman untuk menang dan sudah pasti langkah ini akan lebih proaktif dalam membendung wabak Covid-19,” katanya.

Menurutnya Perdana Menteri juga telah mengambil langkah bijak dan sesuai dalam menjamin kestabilan politik Negara melalui Genjatan Politik sehingga Pilihan raya umum (PRU)Ke-15 yang telah dijanjikan selewat-lewatnya sehingga bulan julai 2022.

“Oleh hal yang demikian, perkara ini dapat menarik para pemimpin untuk lebih fokus dalam memerangi wabak Covid-19 berbanding perebutan kuasa politik…

“Perdana Menteri juga telah membuktikan kematangan beliau melalui teknik perundingan antara kerajaan dan pihak pembangkang.

“Sifat keterbukaannya juga jelas diperlihatkan melalui kesediaan pihak kerajaan untuk duduk dan berbincang mengenai penyelesaian kemelut politik dan wabak COVID-19 di negara ini,” kata Hamdan.

Beliau menjemput orang ramai bersama-sama kita semai semangat bersatu padu dalam kalangan pemimpin dan rakyat agar dapat merealisasikan agenda “Bersama Memulihkan Negara”.

“Tanpa kesatuan dan persefahaman yang kuat dalam Negara, maka sukarlah untuk kita membendung wabak Covid-19 yang semakin menular ini…

“Ayuh kita bangkit bersama memerangi wabak ini. ‘Bersatu Kita Teguh,Bercerai Kita Roboh’,” ulas beliau.