KOTA KINABALU, SABAH – Setiausaha Pejabat Sabapak Eco Sdn Bhd, Sarah Dibba Awang Besar mengungguli Pertandingan Jalur Gemilang@Instagram.
Beliau menewaskan 17 penyertaan lain dan berjaya memenangi hadiah tempat pertama berupa dua tiket penerbangan domestik ke mana-mana destinasi di Sabah dan Sarawak tajaan MASwings.
Majlis ringkas penyampaian hadiah disempurnakan Pengarah Penerangan Sabah, Jainisah Mohd Noor di Wisma Dang Bandang, pada Khamis.
Turut hadir menerima hadiah adalah pemenang saguhati, Mohd Hamizan Syafiq Rosli dari Kota Kinabalu yang memenangi satu tiket penerbangan domestik.
Pertandingan anjuran Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah dan MASWings itu berlangsung selama sebulan mulai 16 Ogos lalu.
Hadir sama menyaksikan majlis penyampaian tersebut, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media Sosial JaPen Sabah, Geraldine Voo Yee Wen dan Pegawai Jabatan Komunikasi MASWings Kota Kinabalu, Rozanah Robert.






