KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah, Mohd Kurniawan Naim Moktar, membidas dakwaan Datuk Seri Panglima Shafie Apdal berhubung Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi yang dibangkitkan di dalam sesi perbahasan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, pagi tadi.
Kurniawan berkata, Ahli DUN Senallang itu telah bertindak mengelirukan Sidang DUN dengan membuat pernyataan berunsur fitnah berhubung Perjanjian tersebut tanpa mengemukakan sebarang bukti.
“YB Senallang telah menggunakan istilah ‘menjual tanah’ yang jelas sengaja mengundang persepsi negatif dan mengelirukan sidang DUN…
“Terma “membabitkan” dan “menjual” merupakan dua konsep istilah bahasa yang mendefinisikan maksud yang berbeza,” katanaya dalam sebuah catatan pada laman rasmi Facebook beliau petang tadi.
Menurutnya, Perjanjian Pemuliharaan Alam Semulajadi (NCA) membabitkan tanah seluas 600,000 hektar yang masih dalam perbincangan dan dijangka berpotensi menjadi ‘ekonomi hijau’ bagi menjana sumber pendapatan baharu bernilai berbilion ringgit untuk Negeri Sabah.
“Perjanjian Konservasi Alam Semulajadi dapat membantu pekebun kecil dan individu yang memiliki tanah bagi menjana pendapatan menerusi perdagangan karbon…
“Negara-Negara seperti Amerika Syarikat, Korea Selatan, Kanada, Jepun, China, Switzerland dan New Zealand telah terlibat melaksanakan perdagangan karbon,” tambahnya.
Kurniawan berkata, di California, Amerika Syarikat, pemilik tanah dapat menjana pendapatan sehingga RM1269.30 bagi setiap 10 ekar tanah.
“Selaku seorang ahli politik berpengalaman, YB Senallang seharusnya mengutamakan prinsip dan etika di dalam membuat sesuatu pertuduhan dan pernyataan bagi menjadi contoh kepada pemimpin generasi muda,” tegasnya.