YKS DILANCARKAN BAGI BANTU PIHAK KERAJAAN NEGERI GERAKKAN AGENDA KEBAJIKAN – KM...

YKS DILANCARKAN BAGI BANTU PIHAK KERAJAAN NEGERI GERAKKAN AGENDA KEBAJIKAN – KM HAJIJI

0
SHARE
Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Haji Hajiji Haji Noor menerima sumbangan RM5 juta untuk Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) daripada Pengarah Urusan Kumpulan (Group MD) Sawit Kinabalu Group, Encik Bacho Jansie di Sabah International Convention Centre pagi tadi...

KOTA KINABALU, SABAH – Sumbangan dana sejumlah RM 11.6 juta dikumpul pada pelancaran Yayasan Kebajikan Sabah (YKS) hari ini.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Haji Hajiji Noor berkata YKS bertujuan bagi membantu pihak kerajaan negeri dalam menggerakkan agenda kebajikan.

“Antara fungsi utama institusi tersebut adalah untuk memperkasa kerjasama di antara kerajaan dengan NGO, korporat dan swasta serta badan-badan lain yang bersedia untuk mencari dana dan menyalurkan sumbangan kebajikan kepada golongan kurang berkemampuan dan berkeperluan khas…

“Pengalaman berhadapan dengan pandemik ini memberikan panduan kepada Kerajaan Negeri tentang keperluan untuk mewujudkan sistem sokongan kepada jentera Kerajaan untuk memastikan mekanisme penyampaian bantuan kebajikan yang lebih pantas dan menyeluruh.

“Berpandukan model dan kejayaan fungsi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di peringkat nasional, YKS akan membantu Kerajaan Negeri dalam menggerakkan agenda kebajikan,” katanya pada Majlis Setahun Kerajaan GRS (Gabungan Rakyat Sabah) Bersama Rakyat pagi tadi.

Menurut Hajiji, Institusi ini akan diurus tadbir secara profesional oleh petugas sosial terlatih untuk memastikan penyaluran bantuan dibuat secara telus dan sampai kepada golongan sasar.

Sumbangan awal itu datang daripada 10 jenis entiti yang tersebut termasuk Kumpulan Yayasan Sabah, Sawit Kinabalu, Qhazanah Sabah, WCT Holdings, Sabah Energy Corporation, Sabah Credit, Ipmuda, Lau Gek Poh Foundation, Persatuan Syatikat Pengurusan Kelab Negeri Sabah dan Cement Industries.

Hajiji juga berkata selain berusaha menangani penularan COVID-19, Kerajaan GRS kekal berusaha membela kebajikan rakyat dalam tempoh pandemik.

“Kita harus memastikan rakyat mempunyai bekalan makanan dan berupaya meneruskan kehidupan…

“Atas sebab itu, kita segera menyediakan peruntukan untuk menyalurkan pelbagai jenis bantuan kepada rakyat,” katanya.

Setakat 22 September tahun ini, sejumlah lebih RM471 juta bantuan telah disalurkan termasuk Pengecualian Bayaran Sewa Projek Perumahan Rakyat serta Pengecualian Bayaran Sewa Gerai dan Permit Penjaja yang berjumlah RM27.2 juta.

Bantuan ini telah dikeluarkan melalui tiga siri Bantuan Sabah Prihatin yang dilancarkan Kerajaan GRS.

“BSP juga melibatkan Bantuan Bakul Makanan (BBM) kepada golongan yang terkesan, iaitu golongan e-Kasih dan B40…

“Bantuan ini turut diagihkan kepada semua penduduk di bawah arahan pengawasan kuarantin kendiri sama ada di dalam kawasan PKPD mahupun di luar kawasan PKPD.

“Setakat ini, sejumlah 1,364,808 bakul makanan bernilai RM131.7 juta telah diagihkan,” jelasnya.