KOTA KINABALU, SABAH – Beberapa orang kontraktor anak Sabah yang enggan namanya dinyatakan mengeluh kerana lesen kelas G1 SPKK yang dikeluarkan oleh Kementerian Kerja Raya tidak boleh digunakan bagi tujuan kerja-kerja bagi projek yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri Sabah.
Menurut mereka, selepas Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mengambil alih Kerajaan Negeri Sabah daripada Parti Warisan Sabah, kami melihat peluang untuk menceburi bidang kontraktor kembali cerah.
“Sepanjang 26 bulan Sabah ditadbir oleh Parti Warisan kebanyakan kontraktor yang sedia ada ‘gulung tikar’ dan ramai yang telah beralih bidang kerjaya untuk mencari sesuap nasi…
“Sebelum ini, kalau ada kerja-kerja kontrak pembinaan pun hanya kroni yang ada kaitan dengan pemimpin-pemimpin Parti Warisan sahaja yang yang mempunyai peluang kerja,” menurut mereka.
Justeru, melihat kepada peluang ini ramai anak-anak Sabah ketika ini telah memohon lesen kontraktor SPKK khususnya kelas F (G1) melalui pendaftaran atas talian (online) memandangkan lesen ini amat mudah diluluskan berbanding lesen Pusat Kontraktor Negeri Sabah (PUKONSA).
Malangnya, lesen SPKK kelas F (G1) ketika ini tidak boleh digunakan untuk memohon kerja-kerja bagi projek di bawah peruntukan kerajaan negeri Sabah.
Menurut mereka lagi, proses memohon lesen PUKONSA agak rumit dan mengambil masa berbulan-bulan untuk diluluskan.
Sebagai contoh bagi pemohon kelas F, Sijil Status Bumiputera mesti disediakan terlebih dahulu dan pemohon pula mesti melalui proses temuduga (interview).
“Ada pemohon di luar Kota Kinabalu yang terpaksa berulang alik ke Kota Kinabalu untuk menyediakan dokumentasi yang diperlukan…
“Masalah utama seperti kos perbelanjaan ke Kota Kinabalu, larangan rentas daerah dan risiko dijangkiti COVID-19 menjadi isu utama anak-anak Sabah telah memohon lesen SPKK terlebih dahulu sebelum memohon lesen PUKONSA.
“Kami juga agak hairan kerana Projek Persekutuan yang dilaksanakan di Sabah bagi mereka yang mempunyai lesen PUKONSA juga dibenarkan untuk melaksanakannya. Sepatutnya isu membabitkan penggunaan lesen SPKK bagi projek Kerajaan Negeri tidak sepatutnya timbul.
“Oleh sebab itu, kami merayu kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Haji Noor dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Dato’ Sri Bung Moktar agar dapat membantu kami menyelesaikan isu ini dengan segera…
“Kami berharap selepas ini, kesemua jabatan dan agensi kerajaan negeri Sabah membenarkan pemegang lesen SPKK kelas F (G1) untuk mengambil kerja-kerja yang disediakan sementara menunggu kelulusan lesen PUKONSA diluluskan,” jelas mereka.