Aset RM21 juta Disita Dari Kilang Ais Tanpa Lesen di Tawau

Aset RM21 juta Disita Dari Kilang Ais Tanpa Lesen di Tawau

0
SHARE

TAWAU: Sebuah kilang pengeluaran ais blok di Batu 3, Jalan Apas diserbu pihak berkuasa pada Sabtu, dengan aset dan peralatan dianggarkan bernilai RM21 juta disita kerana disyaki beroperasi tanpa kelulusan dan lesen sah.

Operasi bersepadu itu diketuai Pegawai Risikan Batalion 14 PGA Tawau, ASP Mohd Rafail Rabbahil, melibatkan sembilan anggota Pasukan Petugas Cawangan Risiko PGA Tawau, pegawai kesihatan persekitaran Pejabat Kesihatan Tawau serta wakil Majlis Perbandaran Tawau (MPT).

Dalam serbuan tersebut, seorang lelaki tempatan berusia 28 tahun yang dipercayai pengurus kilang ditahan bagi membantu siasatan.

ASP Mohd Rafail berkata, pemeriksaan mendapati premis itu menjalankan aktiviti pengeluaran ais blok tanpa dokumen kelulusan sah.

“Kita turut menemukan sebuah chiller mengandungi ais blok yang dipercayai untuk dipasarkan di sekitar Tawau dan Semporna,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, antara peralatan yang disita termasuk dua mesin membuat ais blok, sebuah mesin penghancur ais, dua menara penyejuk, tangki simpanan air serta peralatan lain yang digunakan dalam proses pengeluaran.

Siasatan mendapati pengendali gagal mengemukakan sebarang lesen atau kelulusan bagi aktiviti pembuatan dan penjualan ais blok,” katanya.

Sementara itu, pemeriksaan lanjut turut mendapati premis berkenaan tidak mempamerkan papan tanda perniagaan seperti yang ditetapkan pihak berkuasa tempatan.

Pejabat Kesihatan Tawau telah membuka kertas siasatan di bawah Peraturan 394(A)(4) Peraturan-Peraturan Makanan 1985, mengeluarkan kompaun RM2,500 serta mengarahkan penyitaan operasi dan peralatan kilang.

Dalam masa sama, MPT turut mengeluarkan notis amaran pertama kepada pemilik premis.