POLIS DISERANG OLEH SEKUMPULAN PENGANUT DI HADAPAN KUIL CHERAS

POLIS DISERANG OLEH SEKUMPULAN PENGANUT DI HADAPAN KUIL CHERAS

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Satu video insiden kekecohan di hadapan sebuah kuil di Cheras di sini yang tular sejak semalam menunjukkan sekumpulan penganut membawa kayu dan besi untuk menyerang anggota polis.

Difahamkan, tindakan itu disebabkan sekumpulan penganut di kuil itu beranggapan pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat itu dengan segera, lalu mereka bertindak menyerang anggota polis selain daripada merosakkan jentolak yang ada di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Cheras Muhammad Idzam Jaafar dalam satu kenyataan semalam memaklumkan insiden itu berjaya dileraikan selepas lebih tiga jam di mana EMPAT (4) orang individu berusia 19 tahun hingga 50 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan.

Beliau berkata kekecohan itu tercetus kira-kira 11.45 pagi semalam apabila kira-kira 30 lelaki dan perempuan bertindak menghalang dan memecahkan mesin jentolak yang dikerah Pejabat Tanah dan Galian Kuala Lumpur di mana ia digunakan untuk kerja-kerja membina pagar penghadang bagi pembinaan jalan sebagai laluan ke sekolah bersebelahan.

Tambah Idzham, kumpulan penganut itu yang membawa kayu dan besi turut menyerang anggota polis yang ditugaskan mengawal keselamatan di tempat kejadian.

Dalam video yang berdurasi 1 minit 57 saat itu yang mana telah dikongsikan oleh pengguna Facebook sejak semalam menunjukkan sekumpulan individu yang dipercayai penganut rumah ibadat itu dilihat memegang kayu berlari ke arah sebuah jentolak sambil memecahkan cermin jentolak dan yang lainnya menyerang anggota polis yang berada di tempat kejadian.

 

 

 

 

 

 

Kes disiasat bawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan.

Dalam pada yang sama, Idzam menegaskan tiada sebarang tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.

“Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam,” kata beliau.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi ASP Mohamad Sukri Bin Ishak (Pegawai Penyiasat Kanan) di talian 013-2165881 atau mana-mana Balai Polis berhampiran bagi membantu siasatan.