UMS Pacu Aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya Melalui Ekosistem Inovasi...

UMS Pacu Aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya Melalui Ekosistem Inovasi Berimpak

0
SHARE

KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) terus memperkukuh peranannya sebagai universiti peneraju di rantau Borneo dengan memacu aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya (SMJ) melalui pembangunan ekosistem inovasi berimpak tinggi yang menyatukan penyelidik, pelajar, industri dan komuniti setempat.

Komitmen ini dizahirkan menerusi penganjuran Grand Finale Sabah Festival of Ideas (SFOI) dan Ekspo Kecemerlangan Rekacipta (EXCOCIPTA) 2025, yang menjadi platform utama menghimpunkan hasil inovasi dan idea kreatif anak Sabah.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapa, dalam ucapannya menegaskan bahawa inovasi merupakan nadi kemajuan negara kerana ia membuka peluang pekerjaan baharu, meningkatkan daya saing, serta menambah nilai kepada ekonomi negeri dan negara.

“Malaysia MADANI dan SMJ tidak akan tercapai tanpa inovasi. Ia adalah teras kemajuan dan pemangkin kepada kesejahteraan masyarakat serta kemakmuran bersama,” katanya pada majlis penutupan di Kompleks Dewan Kuliah Pusat Ke-2, UMS, baru-baru ini.

Beliau turut menegaskan komitmen Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam memperkukuh peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu dan inovasi dengan memastikan hasil penyelidikan serta idea tempatan dikomersialkan untuk manfaat masyarakat.

“Dengan usaha berterusan semua pihak, Sabah mampu muncul sebagai hab inovasi serantau yang bukan hanya menjadi pengguna teknologi, tetapi pencipta dan pengeluar penyelesaian inovatif tempatan bertaraf global,” ujarnya.

Sementara itu, Naib Canselor UMS, Profesor Datuk Dr. Kasim Hj. Mansor, melalui teks ucapan yang dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Ir. Dr. Rosalam Sarbatly, menyatakan penghargaan kepada KPT atas kepercayaan memilih UMS sebagai peneraju Festival of Ideas peringkat negeri Sabah.

Menurutnya, penganjuran SFOI dan EXCOCIPTA 2025 menghimpunkan lebih 465 hasil inovasi dari lima zon utama termasuk Keningau, Tawau, Sandakan, Kota Marudu dan Tuaran, melibatkan pelajar sekolah, penyelidik serta usahawan muda, sekali gus membuktikan ekosistem inovasi di Sabah berada pada landasan kukuh.

Kasim turut menegaskan bahawa UMS komited untuk terus menjadi rakan strategik kerajaan dalam merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI dan Sabah Maju Jaya melalui pemerkasaan modal insan, penyelidikan berimpak tinggi dan inovasi mampan.

“Dengan sinergi strategik antara akademia, industri dan komuniti, kita mampu melahirkan gelombang inovasi yang mengubah landskap ekonomi serta mendefinisikan semula masa depan pembangunan negara,” katanya.

Program anjuran bersama Institut Kajian Pembangunan (IDS) Sabah, Perbadanan Pinjaman Sabah (PPS) dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KSTI) turut menampilkan pelbagai pertandingan termasuk Pertandingan Rekacipta (PEREKA), Inovasi STEMQuest Ignite, Inovasi Kearifan Lokal (PIKL) dan Inovasi Keusahawanan Pelajar (PIKP).

Majlis penutupan turut menyaksikan penyampaian anugerah kepada para pemenang serta pengiktirafan kepada rakan strategik yang menyumbang kepada kejayaan penganjuran program berimpak tinggi tersebut.