KOTA KINABALU, SABAH – Prinsip pembangunan mampan akan terus diterapkan di negeri ini untuk menyokong inisiatif pertumbuhan hijau, dalam usaha mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi agar lebih berdaya tahan terhadap perubahan iklim dan bencana.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata seiring dengan itu kerajaan negeri akan menjayakan agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) bagi menjadikan Sabah sebuah negeri yang maju dan mampan.
“Matlamat Pembangunan Mampan atau SDG adalah paksi penting dalam semua perancangan dan dasar bagi menangani isu pembangunan tidak lestari sehingga merosakkan alam sekitar.
“Bagi mencapai semua matlamat itu, kita perlu komited untuk melakukan beberapa langkah, antaranya pertama, mengamalkan prinsip ekonomi kitaran atau ‘circular economy ’iaitu sentiasa berusaha memanjangkan hayat produk yang digunakan dengan berhemah melalui berkongsi, guna semula, perbaiki dan mengitar semula.
“Kedua, mengambil peluang sepenuhnya perubahan dan kemajuan teknologi digital, robotik dan dron. Ini seperti penghutanan semula secara besar-besaran dan boleh dilakukan dengan menggunakan dron,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan penutupan Sidang Kemuncak Matlamat Pembangunan Mampan Malaysia peringkat Wilayah Sabah 2024 di Sabah International Convention Center (SICC) di sini, pada Khamis.
Langkah ketiga pula ialah peluang mendapatkan kualiti pendidikan melalui pendidikan atas talian dan keempat, penyertaan menyeluruh dari semua lapisan masyarakat adalah amat penting.
“Menerusi langkah keempat ini, kita harus terus mendidik dan mengasuh setiap individu tentang konsep kemampanan. Kesedaran disiplin, komitmen dan gaya hidup harus diasuh supaya sikap dan tindakan setiap dari kita adalah konsisten dan akur dengan SDG,” katanya.
Sehubungan itu katanya kerajaan negeri turut memperuntukkan sejumlah RM144.44 juta untuk melancarkan pelaksanaan pelbagai aktiviti dan inisiatif demi mencapai pembangunan yang seimbang dengan mengambil kira elemen kelestarian hijau di Sabah, pada tahun ini.
“Saya juga berharap inisiatif untuk menjajarkan Pembangunan Sosio-Ekonomi di Sabah dengan SDG akan diteruskan dengan bersungguh-sungguh. Semoga hasil daripada sidang ini dapat membantu pembuat dasar, pemegang taruh, individu, masyarakat dan orang ramai lebih peka dan sensitif dengan isu-isu SDG.
“Bagi pihak kerajaan negeri, saya berasa bangga kerana sidang ini turut memberikan ruang kepada agensi kerajaan negeri Sabah mengemukakan sebahagian daripada
inisiatif yang sudah dilaksanakan termasuk Melindungi Biodiversiti dan Ekosistem Hutan serta Pemuliharaan dan Pengurusan Sumber Perikanan melalui Sistem Tagal,” katanya.
Katanya, kerap dilaporkan menerusi saluran media bahawa isu kemampanan telah menjadi dilema manusia iaitu untuk mencapai keseimbangan antara Pembangunan Sosio-Ekonomi yang pesat dan kegigihan secara global untuk memenuhi matlamat pembangunan mampan dan lestari.
“Pertembungan agenda ini menjadikan usaha “to strike the balance” adalah cukup mencabar bagi sebahagian besar manusia, kelompok, wilayah dan negara.
“Kerosakan dan bencana alam berlaku kerana sikap mementingkan diri dan kerakusan oleh sebahagian besar manusia sehingga terlupa untuk menyimpan dan mewariskan kepada generasi yang akan datang.
“Kelalaian manusia yang tidak bertanggunjawab menyebabkan kita telah dilanda bencana dan krisis yang bersilih ganti. Justeru, kerajaan negeri komited untuk menjayakan agenda SDG ini,” katanya.