Hajiji Mahu Jabatan Penerangan Sabah Mainkan Peranan Dalam Menjayakan SMJ

Hajiji Mahu Jabatan Penerangan Sabah Mainkan Peranan Dalam Menjayakan SMJ

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor mahu Jabatan Penerangan membantu untuk menjayakan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) khususnya menyebarluaskan mengenai program itu hingga ke peringkat akar umbi.

Selain itu katanya, apa juga dasar yang dilaksanakan kerajaan perlu diwar-warkan kepada rakyat seperti Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang kini sedang berlangsung di Sabah.

“Dalam hal ini, Jabatan Penerangan Sabah sebagai jabatan kerajaan memainkan peranan penting untuk membantu menjelaskan dasar dan agenda kerajaan kepada rakyat…

“Selain menyebarkan dasar kerajaan, Jabatan Penerangan juga perlu membantu kerajaan menangkis berita yang tidak betul dan memberi penjelasan yang sebenarnya kepada rakyat.

“Saya mahu semua jentera yang ada di jabatan ini bersama membantu kerajaan negeri untuk menjelaskan kepada rakyat mengenai pentingnya mengambil vaksin dan tidak mudah percaya kepada mereka yang anti-vaksin,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Jabatan Penerangan Sabah di Pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

Kunjungan hormat itu diketuai oleh Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah yang baharu menerajui jabatan itu pada Mac lalu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Hj Noor mendengar penerangan yang disampaikan Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah mengenai peranan jabatan itu dalam kunjungan hormat kepada ketua menteri di Pejabatnya di Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini…

Yang turut hadir Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa; Ketua Penolong Pengarah Bahagian Geraksaraf dan Pengurusan Isu, Zulhanin Hasni; Pegawai Penerangan Daerah Tuaran, Malina Jamarin dan Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat, Siti Mariam Datuk Abdul Aziz Rashid.

Hajiji turut merakam terima kasih kepada Jabatan Penerangan Sabah yang turut membantu khususnya ketika penularan pandemik COVID-19 di negeri ini.

“Saya difahamkan jabatan ini turut membantu membuat hebahan awam mengenai pandemik ini selain mengedarkan risalah dalam pelbagai bahasa tempatan. Jabatan Penerangan memainkan peranan penting untuk memberi penjelasan kepada penduduk di seluruh pelusuk negeri ini mengenai pentingnya pengambilan vaksin ini…

“Saya berharap semua pemimpin di peringkat daerah termasuk pegawai daerah dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) turut membantu usaha yang dibuat oleh Penerangan ini,” katanya.

Sementara itu, Nadzerah berkata Jabatan Penerangan Sabah akan terus memberi kerjasama kepada kerajaan negeri terutama berkaitan Halatuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang dilaksanakan di negeri ini.

“Inilah antara tujuan kunjungan hormat hari ini adalah untuk memaklumkan jabatan akan sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri,” katanya sambil menambah jabatan itu juga terlibat dalam memberi hebahan berkaitan COVID-19.