
PENAMPANG, SABAH – Ahli politik pembangkang yang menunjukkan mereka tidak terbuka dalam berpolitik harus ditolak rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua Bahagian Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) Kapayan Jafery Jomion mendakwa ada ahli politik di kawasannya tidak menunjukkan contoh yang baik dalam lanskap politik di Sabah.
“Ini dapat dilihat dalam penganjuran perayaan Pesta Kaamatan Bahagian Kapayan yang mana ada pemimpin parti pembangkang yang telah dijemput namun tidak memberi sebarang maklum balas langsung untuk hadir.
“Jika tidak hadir pun, berilah respons tidak dapat hadir. Inilah budaya politik perpecahan yang tidak baik untuk diamalkan,” katanya kepada media pada majlis itu di Dewan Raya Kampung Kibouvang Kapayan, baru-baru ini.
Hadir sama ialah Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan merangkap Timbalan Ketua Menteri Sabah; Senator Datuk John Ambrose; Ketua Bahagian Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Freddy Sua dan Pengerusi MCA Sabah, Lu Yen Tung.
Katanya lagi, sepatutnya ahli politik harus mengutamakan politik perpaduan yang lebih matang berbanding menunjukkan perpecahan antara pemimpin.
“Kita minta ahli politik pembangkang tidak terlalu emosi dan harus menunjukkan sikap keterbukaan serta memberi contoh yang baik dalam lanskap politik di Sabah,” katanya.
Sebelum itu, Jafery yang juga penaung perayaan Pesta Kaamatan itu turut menyeru semua masyarakat di negeri ini bersatu selaras dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri.
“Sebagai tali yang mengikat kita semua dalam satu keluarga kerana Kaamatan tidak ada kena mengena dengan sebarang Perayaan agama seperti perayaan yang Kita sambut setiap tahun…
“Tetapi ia lebih kepada perayaan yang mengajar semua umat manusia untuk bekerjasama dalam semua aspek termasuk dari segi pekerjaan seperti pertanian dan sebagainya,” katanya.





