BEIJING, CHINA – Pekerja syarikat gergasi teknologi China, ByteDance secara tidak wajar mengakses data daripada platform media sosial TikTok untuk menjejaki wartawan dalam usaha mengenal pasti punca kebocoran kepada media.
Syarikat induk aplikasi itu, ByteDance memberitahu AFP bahawa beberapa kakitangannya terpaksa mengakses data dua wartawan sebagai sebahagian daripada siasatan dalaman kebocoran maklumat syarikat kepada media.
Siasatan itu menjurus untuk mengenal pasti hubungan antara kakitangan dan wartawan Financial Times serta bekas wartawan BuzzFeed yang difahamkan kedua-dua wartawan sebelum ini melaporkan kandungan bahan syarikat yang bocor.
Bagaimanapun, menurut Peguam ByteDance, Erich Andersen, tiada seorang pun pekerja yang didapati masih berkerja ByteDance namun tidak mendedahkan berapa ramai yang sudah dipecat.
“Pekerja sudah mendapatkan alamat IP wartawan dalam usaha untuk menentukan sama ada mereka berada di lokasi yang sama dengan rakan sekerja ByteDance yang disyaki mendedahkan maklumat sulit…
“Bagaimanapun ia gagal kerana alamat IP itu hanya mendedahkan data anggaran lokasi,” katanya.
Bagaimanapun ByteDance dalam satu kenyataan berkata, ia mengutuk perkara itu yang dilihat secara serius melanggar tatakelakuan syarikat.
Sebelum ini, TikTok mendapat perhatian di Amerika Syarikat (AS), dengan Kongres bersedia untuk meluluskan larangan di seluruh negara untuk menggunakan aplikasi video pendek itu di alat peranti milik kerajaan kerana risiko keselamatan.





