KM Sabah Hajiji Bertekad Untuk Perhebatkan Lagi Momentum Pembangunan Negeri Sabah

KM Sabah Hajiji Bertekad Untuk Perhebatkan Lagi Momentum Pembangunan Negeri Sabah

0
SHARE

KOTA KINABALU, SABAH – Ketua Menteri Sabah yang baru dilantik Datuk Hajiji Noor hari ini berkata kerajaan negeri yang baharu di bawah pimpinannya bertekad untuk memperhebatkan lagi momentum pembangunan negeri sebagaimana pernah dicapai sedikit masa dulu.

Beliau berkata ini termasuk menambah baik kualiti hidup rakyat menerusi pelaksanaan pelbagai program dan inisiatif meliputi pelbagai sektor, sambil memperkasakan pembangunan infrastruktur dan utiliti luar bandar serta meningkatkan kualiti pendidikan.

Kerajaan Sabah juga komited untuk memberi perhatian terhadap sektor kesihatan dan modal insan, menambah baik kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi, menyediakan lebih banyak perumahan mampu milik, mengurangkan kemiskinan, menambah peluang pekerjaan dan mempertingkat tahap keselamatan negeri, katanya.

“… dan yang lebih penting (ialah) membangunkan semula ekonomi negeri yang ternyata mengalami kelembapan dan terjejas akibat pandemik COVID-19,” katanya ketika berucap pada Istiadat Pengurniaan Darjah-darjah Kebesaran dan Bintang-bintang serta Pingat-pingat bersempena Hari Jadi Rasmi Ke-67 Yang Dipertua Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin di Istana Negeri di sini.

Turut hadir Toh Puan Hajah Norlidah R.M. Jasni, isteri kepada Ketua Menteri Datin Juliah Salag, ketiga-tiga Timbalan Ketua Menteri Sabah iaitu Datuk Seri Bung Moktar Radin, Datuk Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Dr Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan II Sabah Datuk Masidi Manjun, Menteri Pembangunan Luar Bandar Datuk Jahid Jahim, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong, Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Samsuni Mohd Nor dan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali.

Hajiji juga bersyukur Pilihan Raya Negeri Sabah yang ke-16 berlalu dengan aman serta tenteram, dan berkat restu serta sokongan Yang Dipertua Negeri, kerajaan negeri baharu telah dibentuk.

“Saya bersama-sama barisan kepimpinan negeri yang baharu, bertekad dan komited untuk memikul tanggungjawab dan amanah yang diberikan oleh rakyat dengan penuh rasa keinsafan, ikhlas dan dedikasi,” katanya.

Sementara itu, Hajiji berkata Juhar ibarat payung perpaduan yang memayungi seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama, dan menurutnya, rakyat Sabah amat menghargai kestabilan serta keharmonian hidup yang telah dikecapi sejak turun-temurun.

“Perasaan kekitaan dan saling menghormati merupakan nilai budaya hidup yang akan terus kita semai serta amalkan supaya kemakmuran dan kesejahteraan dapat dikekalkan selama-lamanya…

“Kerajaan negeri dan seluruh rakyat berikrar untuk menumpahkan sepenuh taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Tuan Yang Terutama Tun untuk terus menaungi Sabah tercinta ini,” katanya.

Hajiji mewakili rakyat Sabah mengucapkan selamat ulang tahun kepada Juhar dan mendoakan Yang Dipertua Negeri Sabah itu dipanjangkan umur dan sentiasa dalam keadaan sihat walafiat serta sejahtera.

Ketua menteri itu turut mengucapkan tahniah kepada semua penerima darjah kebesaran, bintang dan pingat kehormatan negeri, dan berharap mereka akan menyemarakkan lagi semangat serta iltizam untuk terus berbakti, sekali gus memperkukuhkan usaha memajukan dan memakmurkan Sabah.