KOTA KINABALU: Malaysia meningkatkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN dalam pemantauan titik panas dan kualiti udara serta usaha mencegah pembakaran terbuka bagi menghadapi risiko jerebu ketika rantau ini berdepan fenomena El Niño.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata, kerjasama serantau penting kerana jerebu bukan masalah yang hanya dihadapi sesebuah negara, sebaliknya keadaan di negara jiran turut boleh memberi kesan kepada Malaysia.
Menurutnya, isu berkenaan telah dibangkitkan dalam mesyuarat ASEAN baru-baru ini, termasuk dengan mengetengahkan sistem Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bagi membantu pemantauan kualiti udara di seluruh rantau.
“Kita perlu mengakui bahawa jerebu bukan masalah yang dihadapi oleh satu negara sahaja. Ia merupakan isu serantau. Apa yang berlaku di negara jiran juga akan memberi kesan kepada kita.
“Baru-baru ini kita mengadakan mesyuarat ASEAN dan saya telah membangkitkan perkara ini di peringkat ASEAN serta membawa Jabatan Meteorologi Malaysia untuk memperkenalkan sistem yang dapat membantu memantau kualiti udara di seluruh rantau,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyempurnakan perasmian pembukaan Tropical Forestry 2026, di sini, hari ini.
Arthur berkata, negara kini berdepan keadaan El Niño yang dijangka membawa hujan kurang kerap, cuaca lebih kering dan peningkatan titik panas, sekali gus meningkatkan risiko jerebu.
Beliau berkata, kerjasama turut dipertingkatkan dengan negara jiran termasuk Indonesia selepas mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya dari negara itu.
Menurutnya, kerjasama berkenaan merangkumi pemantauan titik panas dan peningkatan penguatkuasaan bagi memastikan tiada pembakaran terbuka.
Selain itu, katanya, negara-negara berkenaan juga boleh berkongsi ruang udara dan kemungkinan aset sekiranya operasi pembenihan awan perlu dilakukan.
“Kita boleh berkongsi ruang udara dan mungkin juga aset. Itulah usaha bersama yang perlu dilakukan pada peringkat serantau kerana ini merupakan masalah serantau.
“Saya akan terus membangkitkannya di peringkat ASEAN supaya kita dapat melakukan yang terbaik untuk menyelaras usaha ini secara serantau,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Arthur berharap Akta Perubahan Iklim dapat diluluskan sebelum akhir tahun ini selepas Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan dilancarkan pada April lalu.
Katanya, proses untuk meluluskan akta itu mengambil masa kerana kerajaan Persekutuan perlu mengadakan libat urus dengan semua negeri memandangkan banyak perkara berkaitan Akta Perubahan Iklim melibatkan perhutanan.
“Akta Perubahan Iklim berdepan agak banyak halangan kerana kita perlu mengadakan libat urus dengan semua negeri.
“Seperti yang kita tahu, banyak perkara dalam Akta Perubahan Iklim melibatkan perhutanan dan jika kita melihat Perlembagaan, hutan adalah aset negeri,” katanya.
Menurut Arthur, libat urus termasuk dengan Sabah dan Sarawak penting bagi memastikan kerajaan Persekutuan tidak menceroboh kuasa negeri dan negeri terus mempunyai kuasa terhadap aset berkenaan.
Pada masa sama, katanya, kerajaan Persekutuan merupakan pihak yang perlu membuat laporan kepada agensi antarabangsa dan bertindak sebagai titik fokus negara, justeru penyelarasan antara semua negeri mengambil masa sebelum akta berkenaan dapat diluluskan.
“Diharapkan kita dapat melakukannya sebelum akhir tahun ini. Itu harapan saya,” katanya.






