SABAH DIJANGKA JADI PELOPOR EKONOMI BIRU DI NEGARA INI: KM HAJIJI

SABAH DIJANGKA JADI PELOPOR EKONOMI BIRU DI NEGARA INI: KM HAJIJI

0
SHARE
Hajiji
Hajiji ketika bercakap mengenai Ekonomi Biru di Sabah ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Sabah yang kaya dengan biodiversiti marin dijangka menjadi pelopor dalam Ekonomi Biru di negara ini.

Menurut Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, kerajaan amat komited dalam bidang penerokaan Ekonomi Biru bagi memperkasakan ekonomi negeri sekali gus meningkatkan taraf hidup rakyat dan pelopor konsep ekonomi berkenaan.

“Khazanah yang terdapat di sekitar perairan negeri ini mempunyai potensi besar untuk diterokai bukan sahaja hasil laut malah hasil minyak, gas dan sebagainya.

“Itu sebabnya kita telah merancang untuk menerokai khazanah laut ini yang kita panggil Ekonomi Biru kerana kita dikelilingi oleh tiga lautan iaitu Laut China Selatan, Sulu dan Celebis.

“Saya difahamkan oleh pihak konsultan dan juga hasil penyelidikan mendapati potensi Ekonomi Biru di Sabah cukup besar bukan sahaja dalam menerokai marin dan sebagainya, tetapi juga industri yang lain termasuk tenaga diperbaharu yang ada di perairan Sabah ini.

“Kalau ini dapat kita jayakan di masa akan datang maka kita akan memperoleh banyak manfaat dari segi ekonomi, peluang pekerjaan, pendapatan dan sebagainya Ini adalah sumber baharu sebagai tambahan kepada sumber alam yang sedia ada,” jelas beliau.

Mengulas lanjut, ujar Hajiji, kerajaan juga serius membuka ruang pelaburan yang lebih luas kepada syarikat antarabangsa untuk melabur dalam konsep ekonomi tersebut.

“Kita telah tubuhkan satu unit agensi kerajaan yang kita namakan Sabah Mineral Management Sdn. Bhd. (SMM) untuk menerokai sumber galian kerana di Sabah ini kalau ikut laporan dari Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) banyak sumber alam kita yang boleh mendatangkan hasil.

“Kita ada emas, arang batu, nikel kita ada elemen nadir bumi (Ree) dan banyak lagi, Inipun kita sudah benarkan berapa syarikat untuk menerokai dan kalau ada kita akan bagi mereka kebenaran atau lesen.

“Tujuannya untuk kita dapatkan hasil dan hasil itu kita akan kembalikan kepada rakyat untuk kemudahan mereka,” katanya ketika ditemu bual oleh Penyampai, Raydwin Robin di Konti SabahFM, pada Rabu.

Tambah beliau, Persidangan Ekonomi Biru Antarabangsa Sabah (SIBEC) 2024 bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negeri, pada 19 Oktober ini juga menjadi pemangkin kepada kepesatan pembangunan ekonomi terbabit. — JABATAN PENERANGAN SABAH