PENAMPANG: Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) memutuskan untuk bergerak solo pada Pilihan Raya Negeri Ke,-17 Sabah (PRN-17) dan hanya memutuskan kerjasama dengan parti lain selepas PRN.
Perkara itu disahkan oleh Presidennya, Datuk Peter Anthony dalam satu sidang media di Ibu Pejabat PKDM di sini, semalam.
Peter berkata, pihaknya juga akan meletakkan 30 hingga 35 calon di semua kawasan Kadazan Dusun Murut (KDM) termasuk Pitas, Kota Marudu, Ranau dan beberapa kawasan lain.
“Di peringkat parti, suara kita daripada pimpinan dan keseluruhan, kita telah memutuskan untuk bergerak solo menghadapai PRN-17.
“Jadi biarlah kita parti kerdil ini berdiri solo, tidak macam mereka yang lain, ada PAS, Perikatan Nasional.
“Kita juga akan mungkin akan letak 30 hingga 35 calon dan kesemua KDM itu kita memang akan tanding,” katanya kepada media.
Dalam pada itu, Peter turut menekankan bahawa pihaknya kekal setuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
“Di peringkat pimpinan tertinggi, kita semua maklum, atas titah Yang Di-Pertuan Agung baru-baru ini di mana kita diminta redahkan situasi politik dalam negara.
“Jadi kita bersetuju untuk bersama-sama dengan kerajaan Perpaduan di Kuala Lumpur. Jadi bagi saya sama ada Barisan Nasional, Parti Keadilan Rakyat, DAP Nasional ini kita bersama-sama.
“Jadi saya ingat tiada masalah, cuma di Sabah imi kita putuskan masing-masing kemudian,” jelasnya.