
KOTA KINABALU, SABAH – Seminar Kenali Lelaki Qawwam Dan Bidadari Syurgaku relevan dengan keadaan mencabar institusi kekeluargaan masa kini.
Menteri Sains Teknologi Dan Inovasi Datuk Dr Arifin Mohd Arif berkata kursus tersebut mampu memberi kesedaran kepada masyarakat dalam membina keluarga bahagia di samping dapat mengurangkan berlakunya masalah dan mengganggu keharmonian institusi keluarga.
“Tujuannya adalah untuk meningkatkan kefahaman berhubung peranan kita dalam hidup berkeluarga sebagai suami isteri untuk membina sebuah keluarga bahagia.
“Umat Islam kini semakin peka dan cakna terhadap tuntutan serta piawaian syariah khususnya ketika mana kita sedang menongkah arus zaman yang serba maju serta mencabar ini.
“Meskipun kita berasa teruja dengan perkembangan yang positif berkenaan, kita juga amat berdukacita kerana saban hari dihidangkan dengan perkara-perkara yang kurang enak mengenai institusi keluarga atau rumah tangga.
“Selain kes bilangan perceraian pasangan suami isteri yang meningkat, kes pengabaian dan penderaan juga semakin membimbangkan dan ia meliputi penderaan serta pengabaian terhadap isteri dan anak-anak sehingga ada yang menemui ajal,” katanya semasa merasmikan Seminar kenali Lelaki Qawwam Dan Bidadari Syurgaku di Dewan Saadah Wisma MUIS, semalam.
Program tersebut dianjurkan bersempena Sambutan Maal Hijrah 1446H/2024 menampilkan dua penceramah dan dihadiri oleh 500 orang peserta seminar.
Turut hadir, Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah, Datuk Seri Panglima Yahya Hussin, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains) Jumain Abdul Ghani, Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia Negeri Sabah Datuk Norjeli Dais, Yang Dipertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) Datuk Sapawi Ahmad dan Pengerusi Baitul Mal Sabah Datuk Dr Omar Raisul As-Salam Syah Sulaiman Omar. — JABATAN PENERANGAN SABAH





