Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama PNK Paitan: PNK Ke -15...

Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Kali Pertama PNK Paitan: PNK Ke -15 Negeri Sabah

0
SHARE

PAITAN, SABAH – Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee telah menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan (MAT) Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Paitan kali pertama yang diadakan di Pentas Terbuka Pejabat Daerah Kecil Paitan, Beluran pagi kelmarin.

MAFI melalui Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) telah merangka pelan strategik secara holistik merangkumi pembangunan sektor perikanan dan sosioekonomi nelayan, sekali gus menunjukkan sumbangan besar sektor perikanan dalam pembangunan ekonomi negara.

Selain itu, antara fungsi LKIM adalah menggalakkan kemajuan ekonomi dan sosial Persatuan Nelayan dan kini, terdapat 103 Persatuan Nelayan yang diterajui oleh Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT) di seluruh negara.

Berdasarkan rekod, terdapat sebanyak 16 buah Persatuan Nelayan termasuk Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH) dan 15 lagi Persatuan Nelayan Kawasan dengan keahlian seramai 13,159 nelayan di Negeri Sabah…

Sejajar dengan hasrat meningkatkan ekonomi dan pendapatan nelayan, Persatuan Nelayan Kawasan Paitan merupakan PNK Ke-15 telah ditubuhkan pada 12 Mei 2022 seperti mana diumumkan oleh YBM MAFI pada Majlis Penyerahan Bantuan Elaun Sara Hidup Nelayan di Pulau Jambongan, Beluran yang kini telah mempunyai 62 orang keahlian.

Dengan penubuhan PNK Paitan ini ianya dapat memajukan kepentingan ekonomi dan sosial ahli-ahlinya selain menjaga kebajikan dan kesejahteraan masyarakat nelayan setempat.

Tambahan lagi, PNK Paitan seterusnya memberi peluang kepada nelayan-nelayan kita di daerah Paitan khususnya untuk lebih mudah menerima manfaat dan kemudahan yang diberikan oleh kerajaan melalui LKIM.

LKIM berperanan untuk memperbaiki kedudukan sosio-ekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan. Pengurusan LKIM pula sentiasa komited memberikan sokongan kepada PNK untuk terus mempelbagaikan pendapatan melalui perniagaan. Ahli PNK akan turut menerima manfaat daripada keuntungan hasil dari projek perniagaan yang dilaksanakan oleh PNK.

Sehubungan itu, Kerajaan melalui LKIM telah mengadakan pelbagai program dan telah memberikan bantuan kepada nelayan di Paitan antaranya pemberian Elaun Sara Hidup Nelayan (ESH) RM300, Subsidi Minyak Nelayan Diesel & Petrol (RM1.65 sen/liter), Pinjaman Dana Nelayan, Pembangunan Pasar Nelayan dan banyak lagi.

Dalam majlis yang sama, Dr. Ronald turut menyerahkan geran permulaan PNK Paitan bernilai RM50,000.00. Penyaluran geran permulaan ini sebagai bantuan penubuhan untuk melaksanakan projek-projek ekonomi dan program-program sosio-ekonomi ahli yang berdaftar di PNK Paitan. Dengan penyerahan bantuan ini ianya secara tidak langsung dapat membantu PNK Paitan dalam usaha membangunkan masyarakat nelayan di daerah ini.

Dalam usaha untuk meningkatkan kegiatan tahap sosioekonomi masyarakat nelayan khususnya PNK Paitan, aktiviti ekonomi yang akan dilaksanakan antaranya, Projek Agropelancongan yang merupakan Pelantar Bagang untuk menangkap ikan bilis dan aktiviti memancing yang dilengkapi dengan kemudahan tempat rehat dan memasak, Projek Pemasaran Ikan dan Hasil Laut (Pusat Pengumpulan, Pengedaran dan Pemasaran Hasil Laut) serta Projek Perkhidmatan Kontrak dan Pembekalan.

Pelbagai manfaat diperolehi dari segi sosial dan kemudahan sekiranya menjadi ahli persatuan nelayan termasuk pelbagai bantuan seperti bencana alam (bagi yang layak), pinjaman skim untuk nelayan (bagi yang layak), caruman PERKESO, perumahan nelayan, Yayasan Nelayan Malaysia (YANEM) fokus untuk membantu anak-anak nelayan untuk belajar, Kumpulan Nelayan Wanita (KUNITA), Kumpulan Keselamatan Nelayan (KESAN) yang dapat membantu menggalakkan lagi kehidupan sosial yang lebih positif serta banyak kemudahan lain.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui LKIM telah dan akan sentiasa memainkan peranan yang penting dan berkesan sebagai agensi yang dipertanggungjawabkan untuk memperbaiki kedudukan sosioekonomi nelayan dengan penumpuan kepada peningkatan pendapatan dan memajukan perusahaan perikanan negara serta memastikan sekuriti makanan negara terjamin.

Turut hadir dalam majlis ini, Puan Siti Muslizah Majid, Wakil Penolong Pegawai Daerah Kecil Paitan, Encik Hamdan Mamat, Pengarah Bahagian Pembangunan Masyarakat Nelayan dan Pertubuhan Nelayan LKIM Ibu Pejabat, Encik Mohd Jamil Abdullah, Pengarah LKIM Negeri Sabah, Encik Farid Sharif, Pengarah Bahagian Pemasaran LKIM Ibu Pejabat dan Encik Barjahun Hiyah, Pengerusi Sementara PNK Paitan.