Gelorakan Sambutan Bulan Kebangsaan Melalui 1R1JG

Gelorakan Sambutan Bulan Kebangsaan Melalui 1R1JG

0
SHARE
Edi
Edi (hadapan tengah) bersama Diana (kiri) dan anggota JaPen Sabah merakamkan gambar kenangan bersama DJ Niz dan Felix di Konti Kupi-Kupi FM ( Sumber Foto: Ihsan Jabatan Penerangan Sabah )

KOTA KINABALU, SABAH – Bagi menggelorakan semangat sambutan Bulan Kebangsaan, Kementerian Komunikasi Malaysia memperkenalkan inisiatif 1 Rumah 1 Jalur Gemilang (1R1JG).

Penolong Pengarah (Kempen) Bahagian Perkhidmatan Komunikasi dan Pembangunan Masyarakat Jabatan Penerangan (JaPen) Sabah Edi Rizam Kassim berkata, inisiatif tersebut diperkenalkan sebagai usaha untuk memeriahkan semangat sambutan Bulan Kebangsaan tahun ini.

Katanya, inisiatif tersebut juga dilaksanakan di peringkat negeri dengan tujuan yang sama iaitu mengajak rakyat untuk sama-sama mengibarkan bendera kebangsaan dan juga bendera negeri tidak hanya di rumah masing-masing, tetapi juga di tempat-tempat awam.

“Pada kesempatan ini, kami di pihak JaPen Sabah menyeru kepada masyarakat agar bersama memainkan peranan kita sebagai warganegara yang bertanggungjawab dan cintakan negara, dengan mengibarkan Jalur Gemilang serta Bendera Negeri Sabah dengan sempurna.

“Dipohon agar setiap bendera yang dikibarkan berkeadaan sempurna, iaitu bendera tidak koyak, tidak uzur dan tidak lusuh,” ujarnya pada sesi temubual segmen ‘Morning Kinabalu’ di konti Kupi-Kupi FM kendalian DJ Niz dan Felix, pada Rabu.

Jelasnya, sepanjang Sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini, pelbagai aktiviti telah dirancang oleh pelbagai agensi yang terlibat termasuklah JaPen Sabah antaranya Program Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) yang akan disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor di Perkarangan Bangunan DBKK pada 1 Ogos ini.

“Turut diadakan adalah Program Merdeka @ Komuniti Peringkat Parlimen dan Peringkat DUN yang akan berlangsung di seluruh negeri mulai 1 Ogos sehingga 16 September.

“Program Pentarama X Kelab Malaysiaku, Karnival Kita MADANI Negeri Sabah pada 8 hingga 10 Ogos bertempat di daerah Membakut dan Simfoni Jiwa Merdeka di daerah Kalabakan pada 16 Ogos nanti.

“Selain JaPen, Jabatan Penyiaran melalui RTM, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) dan Kementerian Belia dan Sukan Sabah (KBSS) turut bersama mengimarahkan Sambutan Bulan Kebangsaan melalui program masing-masing,” katanya.

Hadir sama, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Media dan Komunikasi Korporat JaPen Sabah, Dr. Diana Dominic dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Keurusetiaan JaPen Sabah Siti Mariam Aziz. — JABATAN PENERANGAN SABAH