Kerosakan Kabel Bawah Tanah Punca Gangguan Bekalan Elektrik Labuan Pada Isnin

Kerosakan Kabel Bawah Tanah Punca Gangguan Bekalan Elektrik Labuan Pada Isnin

0
SHARE
Sesb
Kerja-kerja pemulihan semula bekalan dilaksanakan oleh pasukan kerja teknikal SESB ( Sumber Foto: Ihsan SESB )

KOTA KINABALU, SABAH – Kerosakan kabel bawah tanah milik Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) merupakan punca kepada gangguan bekalan elektrik yang berlaku di Wilayah Persekutuan Labuan baru-baru ini.

Pengurus Besar Kanan (Pengurusan Aset)  Mohd Yusmanizam bin Mohd Yusof berkata, kerja-kerja pembaikan ke atas kerosakan yang melibatkan kabel bawah tanah itu memerlukan kepakaran dan kemahiran.

Beliau menjelaskan bahawa gangguan bermula pada Isnin (1 April) pada jam 4.22 petang dan telah menjejaskan bekalan elektrik ke kawasan Jeti Lama Labuan, Masjid India, Bangunan Alliance Bank, Melati Inn Hotel, Terminal Ferry Roro, Terminal Ferry Labuan, Labuan Liberty Port, kawasan Jalan OKK Abdullah, Pejabat Pos Dataran, Mariner Hotel, Jalan Bunga Anggerik dan Jalan Bunga Dahlia.

“SESB Zon Labuan telah menerima makluman gangguan bekalan pada jam 4.22 petang dan pemeriksaan dilaksanakan oleh pasukan kerja teknikal SESB,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Katanya, kerja-kerja pemulihan bekalan elektrik dibuat secara berperingkat dan serta merta.

“Bekalan elektrik hanya berjaya dipulihkan ke beberapa kawasan manakala masih terdapat beberapa kawasan lagi tidak dapat ditenagakan dan memerlukan kerja pembaikan dilaksanakan terlebih dahulu.

“Pada jam 7.02 malam, lokasi kerosakan kabel bawah tanah berjaya dikenal pasti dan kerja-kerja pembaikan dilaksanakan serta merta.

“Walaubagaimanapun pada jam 4.00 pagi, kerja-kerja terpaksa dihentikan berikutan hujan lebat yang melanda Labuan,” katanya lagi.
Bekalan pulih sepenuhnya pada jam 12.02 tengah hari pada Selasa.