KUDAT: Kudat berpotensi dibangunkan sebagai Hab Ekonomi Biru serantau berasaskan kedudukan strategik dan kekayaan sumber marinnya, kata Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor.
Beliau berkata, aspirasi itu sedang digerakkan menerusi cadangan pembangunan Taman Perindustrian Ekonomi Biru (BEIP) yang diterajui Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (SEDCO) dalam tempoh Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Katanya, sebagai langkah awal, pelan induk bagi kawasan seluas 1,205 ekar milik SEDCO di Kampung Limau-Limauan dan Perapat Laut sedang disediakan, manakala 3,129 ekar lagi di Matunggung, Banggi dan Tanjong Kapor dikenal pasti sebagai kawasan rizab pembangunan projek berkenaan.
“Berkonsepkan pembangunan maritim dan teknologi hijau, projek ini memberi tumpuan kepada industri makanan laut, logistik perdagangan serta kegiatan ekonomi berasaskan laut, termasuk cadangan pembinaan pelabuhan sebagai zon perdagangan serantau.
“Kedudukan Kudat memberikan kelebihan untuk memperluas hubungan perdagangan dengan pasaran China, Korea Selatan, Jepun dan Filipina,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan Perkhidmatan Komuniti Bergerak (MCS) Edisi DUN Tanjong Kapor di Dataran Tomborungus, di sini, malam ini.
Hajiji berkata, pengukuhan industri perikanan laut dalam serta penaiktarafan bagang di pesisir pantai turut diberi perhatian supaya masyarakat setempat dapat mengambil bahagian dalam perkembangan ekonomi berkenaan.
Katanya, pembangunan itu memerlukan dukungan dasar, peruntukan serta infrastruktur yang kukuh menerusi kerjasama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, dengan kelestarian alam sekitar serta pemuliharaan marin terus menjadi asas pelaksanaannya.
Beliau berkata, Kudat kaya dengan keindahan alam, khazanah budaya serta kreativiti masyarakat yang diterjemahkan melalui produk tempatan, termasuk kraf tangan, hasil pertanian, perikanan dan kegiatan pelancongan.
“Berlandaskan kekuatan ini, kita mahu masyarakat Kudat memperoleh akses yang lebih luas kepada perkhidmatan kerajaan, sokongan keusahawanan dan peluang pemasaran bagi meningkatkan kesejahteraan serta pendapatan mereka,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau menyambut baik Belanjawan 2027 yang dibentangkan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pada 9 Oktober lalu, dengan Sabah menerima peruntukan Persekutuan RM18.7 bilion bagi tahun depan berbanding RM17.6 bilion tahun ini.
Katanya, peningkatan peruntukan itu memberi dukungan penting kepada usaha memperkukuh kemudahan asas, meningkatkan penyampaian perkhidmatan dan menyediakan landasan bagi pertumbuhan ekonomi negeri.
Beliau berkata, Belanjawan 2027 menyediakan RM3.3 bilion bagi pembangunan jalan raya di Sabah dan Sarawak, selain RM350 juta untuk penyelenggaraan jalan Persekutuan, bagi melengkapi usaha menangani isu legasi kemudahan asas, khususnya jalan raya, air dan elektrik.
Hajiji berkata, Kerajaan Negeri sedang meneliti keperluan semasa rakyat, kemampuan kewangan negeri serta kesinambungan pembangunan di bawah Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 bagi tempoh 2026 hingga 2030.
Katanya, hasil Sabah kekal kukuh dengan kutipan RM6.96 bilion pada 2022, RM6.97 bilion pada 2023, RM6.87 bilion pada 2024 dan RM6.76 bilion pada 2025, berbanding sekitar RM4 bilion pada 2019.
“Justeru, kita akan terus memperkemas kutipan, mempelbagaikan sumber hasil dan mengurus perbelanjaan secara berhemah bagi memastikan kedudukan kewangan negeri kekal kukuh. Saya optimis hasil negeri bagi tahun 2026 mampu melepasi paras RM7 bilion,” katanya.
Sementara itu, Hajiji berkata, program berkenaan menggabungkan empat komponen yang saling melengkapi, iaitu Sentuhan Kasih Rakyat, Karnival Jom Malaysia, Jualan Rahmah MADANI dan MCS.
Katanya, program itu menyantuni kebajikan masyarakat, memperluas promosi dan pemasaran produk tempatan, meringankan kos sara hidup serta mendekatkan perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
Beliau turut menyeru usahawan memanfaatkan peluang yang tersedia untuk meningkatkan daya saing, memperkukuh penjenamaan dan memperluas pasaran produk masing-masing, selain mengajak masyarakat menyokong produk tempatan bagi membantu mengembangkan perniagaan, menjana pendapatan dan membuka peluang pekerjaan kepada rakyat.






