Individu Muslim Tidak Murtad Jika Sengaja Makan Daging Khinzir

Individu Muslim Tidak Murtad Jika Sengaja Makan Daging Khinzir

0
SHARE
Gambar sekadar hiasan...

PUTRAJAYA – Umat Islam tidak dianggap jatuh MURTAD jika sengaja memakan daging khinzir KECUALI dia mengatakan secara terang bahawa daging babi adalah halal kerana telah bertindak menghalalkan apa yang diharamkan syarak.

Walau bagaimanapun, individu Muslim yang sengaja memakan daging khinzir tetap dihukum sebagai BERDOSA kerana haiwan itu adalah haram di sisi agama berdasarkan pelbagai dalil al-Quran dan hadis.

Demikian adalah pandangan oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan (PMWP) melalui penjelasan isu semasa dalam slot Al-Kafi li al-Fatawi yang disiarkan laman sesawang rasminya itu baru-baru ini.

Memetik laporan Kosmi, pencerahan berkenaan disebabkan tularnya isu di laman media sosial yang memaparkan terdapat individu Muslim sengaja makan di restoran bukan Islam yang tiada logo halal malah bangga menikmati hidangan babi.

Menurut agensi tersebut, hukum memakan daging khinzir adalah haram berdasarkan firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 173 yang menyatakan perintah tegas larangan berkenaan.

Isu ini malah turut dihuraikan oleh ramai ulama terkenal antaranya ialah Imam Fakhruddin al-Razi dalam kitab Tafsir al-Kabir Jilid 3 dan Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam Tafsir al-Munir Jilid 4.

Tidak ketinggalan ialah Imam Ibn Qudamah al-Maqdisi dalam kitabnya, Al-Mughni Li Ibn Qudamah dengan merujuk status Muslim yang menghalalkan daging tersebut sebagai jatuh kafir.

Katanya, sesiapa yang beriktikad atau meyakini halal sesuatu perkara yang sudah diharam secara ijmak ulama serta hilang syubhah atau keraguan adalah terkeluar akidah Islamnya.