KOTA KINABALU, SABAH – Kes baharu COVID-19 di Sabah mencatat penurunan sebanyak 37 kes berbanding semalam dengan jumlah 161 KES hari ini.
Jurucakap Perkembangan Harian COVID-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kedudukan semasa di semua daerah menampakkan fasa penstabilan kecuali di beberapa daerah mana kes harian turun-naik secara mendadak hampir setiap hari.
“Antaranya ialah Kota Kinabalu (29 kes) yang turun 16 kes hari ini walaupun masih merupakan daerah yang mencatat kes baharu tertinggi di negeri Sabah…
“Ranau (28 kes) pula kembali mencatat jumlah kes yang tinggi termasuk enam (6) kes baharu daripada Kluster Hotel Perkasa.
“Tidak ada kes baharu dicatatkan di lapan (8) daerah dan kurang 10 kes baharu di 14 daerah,” katanya dalam rumusan harian kes.
Seramai 158 pesakit hari ini adalah dalam Kategori 1 dan 2 manakala hanya satu (1) kes dalam Kategori 3 dan dua (2) dalam Kategori 4.
“Adalah juga diperhatikan bahawa 31 orang atau 19 peratus (19.2%) daripada 161 pesakit baharu yang dilaporkan hari ini merupakan kanak-kanak bawah umur 12 tahun yang belum layak diberi vaksin…
“Ibu-bapa dan ahli keluarga dewasa yang tinggal bersama kanak-kanak yang masih kecil diseru agar berhati-hati bagi mengelak dijangkiti dan secara tak sengaja menjadi pembawa virus tersebut ke rumah,” tambah Masidi.
Menurunya setakat semalam kadar kebolehjangkitan atau R0/RT bagi Sabah naik ke 1.07 berbanding kadar kebangsaan 0.98.
“Patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan sepanjang masa,” tegasnya.
Berikut merupakan pecahan kes positif COVID-19 negeri Sabah mengikut daerah hari ini (10 Jan 2022) dibandingkan dengan angka kes kelmarin (dalam kurungan):
Kota Kinabalu – 29 (45)
Ranau – 28 (22)
Tuaran – 19 (23)
Kota Belud – 15 (17)
Penampang – 13 (15)
Papar – 9 (21)
Keningau – 7 (9)
Tawau – 7 (1)
Tambunan – 5 (5)
Kota Marudu – 5 (1)
Tenom – 5 (7)
Kuala Penyu – 4 (5)
Kudat – 4 (1)
Sandakan – 3 (4)
Putatan – 3 (2)
Beaufort – 2 (6)
Semporna – 1 (0)
Telupid – 1 (0)
Tongod – 1 (0)
Beluran – 0 (2)
Lahad Datu – 0 (2)
Kinabatangan – 0 (1)
Kunak – 0 (0)
Nabawan – 0 (0)
Sipitang – 0 (7)
Pitas – 0 (2)
Kalabakan – 0 (0)