Gagasan Rakyat Mampu Main Peranan Signifikan Dalam Landskap Politik Bandar – Faisyal

Gagasan Rakyat Mampu Main Peranan Signifikan Dalam Landskap Politik Bandar – Faisyal

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Api-Api, Datuk Faisyal Yusuf Hamdain Diego menyatakan keyakinan bahawa parti itu juga berpotensi untuk memainkan peranan yang lebih signifikan dalam landskap politik bandar, seperti di kawasan Api-Api.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada demografi pengundi di kawasan berkenaan yang kini memperlihatkan perubahan ketara dengan lebih 48 peratus terdiri daripada Bumiputera Islam.

“Memang realitinya kawasan bandar seperti Api-Api ini dikenali sebagai kawasan majoriti pengundi Cina. Tetapi dengan komposisi semasa, tidak mustahil suatu hari nanti Gagasan Rakyat juga mampu mencalonkan wakilnya sendiri,” katanya ketika ditemui media pada Persidangan Gagasan Rakyat Bahagian Api-Api di sini, semalam.

Menurut Faisyal, kekuatan Gagasan Rakyat juga terletak pada mobilisasi sayap Pemuda dan Beliawanis parti yang aktif mendekati golongan pengundi muda, yang kini merangkumi lebih 50 peratus daripada keseluruhan jumlah pemilih.

“Kita minta Pemuda dan Beliawanis terus turun padang, laksanakan program mendekati anak muda dan terlibat dalam diskusi berkaitan data dan strategi pilihan raya. Ini penting untuk memastikan kita kekal relevan dalam senario politik bandar,” ujarnya.

Dalam konteks Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi, beliau menegaskan bahawa Gagasan Rakyat komited membantu mana-mana calon dari Gabungan Rakyat Sabah (GRS) atau Pakatan Harapan Plus (PH Plus).

“Kita dalam GRS, dan kita sedia bergabung tenaga membantu siapa saja calon dari GRS atau PH Plus yang akan bertanding. Semangat kerjasama dan tolak ansur antara komponen adalah kunci kejayaan,” katanya lagi.

Beliau turut menekankan bahawa persiapan PRN telah dimulakan, termasuk semakan data pemilih dan pelaksanaan program-program yang menjurus kepada gerak kerja kempen.

“Kita harus berkorban untuk parti, termasuk dari segi masa dan tenaga. Ini adalah masa untuk kita buktikan kekuatan parti dalam landskap politik bandar,” tambahnya.