TAWAU: Seorang lelaki berusia 34 tahun cedera parah selepas dirempuh sebuah Toyota Hilux dalam kejadian langgar lari di Batu 3, Jalan Apas, kira-kira jam 3.50 pagi Sabtu.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, ketika kejadian, mangsa sedang berjoging bersama kira-kira 20 individu lain dari arah McDonald’s menuju ke Bandar Sri Indah.
“Mangsa berada dengan kumpulan tiga pelari di hadapan apabila dilanggar dari arah belakang oleh sebuah Hilux berwarna gangsa yang kemudian melarikan diri dari lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Akibat rempuhan itu, mangsa tercampak ke dalam longkang dan mengalami kecederaan di kepala.
Mangsa kini dirawat di Wad Pembedahan Lelaki Hospital Tawau dan berada dalam keadaan stabil.
Menurut Jasmin, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan kenderaan terbabit memecut laju sebaik melanggar mangsa.
Kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan cuai dan tidak bertimbang rasa.
Orang awam yang menyaksikan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi ASP Joan Lee di talian 019-8537100.
Video berdurasi 23 saat insiden berkenaan turut tular di media sosial.






