PENAMPANG: Sebuah pondok ibadah di Sinundu Miracle Hill, Kampung Duvanson, Putatan, dipercayai menjadi sasaran perbuatan khianat yang disyaki mempunyai unsur kebencian, dalam kejadian yang dilaporkan semalam.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, pihaknya menerima laporan pada 13 Julai selepas pondok doa itu ditemukan dalam keadaan berselerak dengan beberapa barangan di dalamnya rosak dipercayai dilakukan individu tidak dikenali.
“Siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah Seksyen 427 dan Seksyen 295 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, Seksyen 427 memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, manakala Seksyen 295 melibatkan kesalahan mencemarkan atau merosakkan tempat ibadat dengan niat menghina agama, yang boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Beliau menegaskan polis memandang serius sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat serta sensitiviti agama.
Orang ramai turut dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengganggu siasatan.
Sesiapa yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Mohamad Anis Abdullah di talian 013-636 5734 atau hadir ke balai polis berhampiran.






