TAWAU: Teknologi kecerdasan buatan (AI) dan automasi tidak seharusnya dilihat sebagai ancaman kepada peluang pekerjaan, sebaliknya perlu dimanfaatkan sebagai pemangkin untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir tempatan melalui pemindahan teknologi dan pembangunan bakat kata Pengerusi Technology Depository Agency (TDA) yang baharu dilantik, Tan Sri Liew Yun Fah.
Katanya, tanggapan bahawa AI akan menggantikan sepenuhnya tenaga manusia adalah tidak tepat kerana sistem berkenaan masih memerlukan data berkualiti yang dikumpul, diproses dan diuruskan oleh manusia untuk berfungsi dengan berkesan.
“Banyak pihak merasa risau kononnya apabila sistem AI memainkan peranan sepenuhnya dan robot digunakan, tenaga manusia tidak lagi diperlukan. Sebenarnya itu tanggapan yang silap.
“Data-data AI ini memerlukan manusia untuk dikumpul dan dimasukkan ke dalam program pemikiran atau ‘otak’ robot tersebut supaya ia boleh berfungsi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di sini pada Isnin.
Liew berkata, perkembangan pesat industri AI membuka peluang baharu kepada belia Sabah, khususnya di kawasan luar bandar, untuk menceburi bidang teknologi bernilai tinggi walaupun tinggal di kampung.
Beliau berkata, proses pengumpulan data AI memerlukan tenaga kerja yang ramai dan mampu menjadi sumber pekerjaan kepada anak muda yang mempunyai kelayakan, namun masih belum memperoleh pekerjaan tetap.
Katanya, syarikat tempatan Tawau Insight Trace Sdn. Bhd. yang bekerjasama dengan pakar teknologi dari China menjadi contoh bagaimana Sabah mampu memainkan peranan dalam rantaian industri AI global.
“Saya berharap syarikat ini mengutamakan anak-anak muda kita di peringkat kampung. Ini membuktikan bahawa walaupun berada di kampung, kita tetap mampu memainkan peranan yang sama penting dalam ekosistem teknologi global,” katanya.
Mengulas peranan baharunya sebagai Pengerusi TDA, Liew menegaskan agenda pemindahan teknologi akan menjadi keutamaan agensi itu bagi memastikan kepakaran yang dibawa syarikat asing dapat dipindahkan kepada rakyat tempatan, sekali gus mengurangkan kebergantungan negara terhadap tenaga pakar luar.
Katanya, langkah itu penting supaya lebih ramai anak Sabah memiliki kemahiran menyelenggara, membaiki dan membangunkan teknologi berimpak tinggi secara berdikari.
“Peranan TDA diwujudkan adalah untuk memastikan pemindahan sistem dan teknologi. Teknologi ini mesti dipindahkan kepada anak-anak Malaysia, khususnya anak Sabah, supaya mereka mampu mengatasi sebarang masalah teknikal secara mandiri,” katanya.
Beliau berkata, pihaknya turut merancang membawa pengurusan syarikat serta rakan teknologi dari China mengadakan kunjungan rasmi kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat bagi membincangkan potensi pembangunan industri AI di Sabah.
Liew, yang dijangka melaporkan diri secara rasmi di TDA sebelum penghujung bulan ini, berkata beliau akan mengemukakan pelan tindakan strategik selepas meneliti sepenuhnya fungsi dan keperluan agensi berkenaan.
Sebagai anak Sabah, katanya, beliau komited membawa lebih banyak teknologi dan kepakaran bernilai tinggi ke negeri ini agar manfaatnya dapat dinikmati rakyat, di samping merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Persekutuan atas kepercayaan yang diberikan untuk menerajui agensi strategik tersebut.
Sumber: Jabatan Penerangan






