KUALA LUMPUR – Upah mencecah sehingga RM2,500 setiap bulan. Itu antara imbuhan diterima tonto sindiket perjudian dalam talian atau turut dikenali dengan jolokan ‘jaga air’.
Khidmat ‘jaga air’ ini dianggap penting bagi menyalurkan maklumat berkaitan operasi dijalankan pihak berkuasa di premis judi sekitar ibu kota.
Memetik laporan Harian Metro, difahamkan kumpulan ‘jaga air’ ini akan berada di hadapan setiap premis perjudian selain memerhatikan setiap pergerakan keluar dan masuk pelanggan serta individu mencurigakan di luar premis.
Sekiranya mengesan sesuatu yang pelik, ‘jaga air’ terus menghubungi penjaga premis perjudian sebelum pelanggan melarikan diri menggunakan pintu kecemasan.
Kegiatan jaga air itu dikesan apabila tiga lelaki berusia 30 hingga 45 tahun ditahan dalam serbuan dilakukan polis Daerah Dang Wangi bermula jam 6.30 petang di empat premis perjudian dalam talian semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, kewujudan kumpulan jaga air ini menyukarkan operasi pihak berkuasa.
“Bagaimanapun taktik pengawasan rapi digunakan sindiket untuk melakukan aktiviti haram itu tetap berjaya dibongkar polis.
“Dalam serbuan di empat premis, kami berjaya menahan 12 individu termasuk penjaga premis judi.
“Serbuan dilakukan dua pegawai dan 10 anggota Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di Jalan Pudu, Jalan Landak dan Jalan Yap Kwan Seng, di sini,” katanya.
Mohd Sukri berkata, serbuan turut merampas 116 set komputer yang dijadikan peralatan untuk melakukan judi dalam talian.
“Selain itu kami merampas wang tunai RM350 dipercayai wang pertaruhan pemain judi,” katanya.
Mohd Sukri berkata, semua tangkapan dibawa ke IPD Dang Wangi untuk diambil keterangan dan siasatan mengikut Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
“Polis akan terus menggempur pusat judi haram di daerah ini yang gemar berselindung di sebalik nama pusat hiburan,” katanya.